Thursday 28 April 2011

SAJAK -DI BAWAH LANGIT YANG SAMA


Maksud

Rangkap 1
Di bawah langit yang sama kita bernafas tanpa mengira tempat atau lokasinya sama ada di Beirut ataupun di Kuala Lumpur.

Rangkap 2
Penyajak menyukai gerimis di Kota London dan terpesona dengan angin dingin yang mencengkam tubuhnya di Washington yang di kelilingi oleh pepohon yang menghijau dan beraneka warna yang tiada bezanya.

Rangkap 3
Tidak kira sesiapapun yang menghuni Australia ataupun Afrika, semuanya sama kerana berada di bawah langit yang sama.

Rangkap 4
Penyajak ingin menyeberangi Laut Cina Selatan dan melayari lautan teduh yang merentasi laluan sutera yang berkongsi siang dan malamnya. Penyajak menyeru manusia agar memupuk perasaan cinta dan harapan yang sama dalam kalangan warga dunia kerana semuanya berada di bawah langit yang sama.

Rangkap 5
Peta-peta itu cuma memisahkan sempadan negara dan jangan ditutup pos sempadannya. Visa hanya merupakan keperluan rasmi buat seketika di samping dokumen penting seperti pasport. Kita masih mendakap mimpi yang sama untuk menggapai hasrat agar menghapuskan perasaan kebencian dan melupakan peristiwa silam yang buruk di bawah langit yang sama.

Tema
Hakikat persamaan antara manusia walaupun di mana sahaja mereka berada.

Persoalan
1. Persamaan dalam semua aspek kehidupan manusia tanpa mengira tempat.
2. Keamanan sejagat perlu disuarakan oleh semua warga dunia.
3. Lupakan persengketaan dan sejarah silam untuk mewujudkan kemanan.
4. Semua manusia sama sahaja di dunia ini

Gaya Bahasa
1. Personifikasi – Anyam cinta pelangikan zaman
2. Metafora – sejarah hitam
3. Pengulangan – Aku, Di bawah langit
4. Sinkof – Beirutmu, Kuala Lumpurku
5. Asonansi – Sesama kita – warga dunia
6. Aliterasi – Lebur kebencian kuburkan sejarah silam

Nada
Romantis

Nilai
1. Hormat-menghormati
2. Mematuhi peraturan
3. Kesaksamaan
4. Keamanan

Pengajaran
1. Kita haruslah memahami keadaan yang sama antara setiap warga dunia ini.
2. Semua manusia yang hidup di dunia ini memiliki persamaan dalam semua perkara tanpa mengira sempadan dan negaranya.
3. Kita hendaklah mewujudkan dan mengekalkan keamanan sejagat.
4. Kita perlulah melupakan peristiwa silam yang tidak baik.



SKEMA JAWAPAN  SAJAK- DI BAWAH LANGIT YANG SAMA

Baca sajak dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

i.  Apakah yang dicadangkan oleh penyajak kepada manusia yang hidup di bawah langit yang
   sama?                                                                                                                                  (2 markah)
-          Cadangan penyajak ialah memadamkan kebencian dan peristiwa-peristiwa negatif yang telah lepas.
-          Penyajak ingin menguburkan segala sejarah hitam yang pernah hadir dalam hidupnya.

ii.    Pada pendapat anda, mengapakah penyajak mengingatkan pembaca bahawa hidup kita hidup  di bawah langit yang                                                                                           (3 markah)
-          Pada zaman ini, terlalu banyak peperangan yang berlaku
-          Penyajak ingin mengingatkan manusia bahawa kita berkongsi bumi, jadi kita perlu bersama-sama menjaga kesejahteraan bumi.
-          Penyajak ingin menyedarkan kita supaya jangan mengamalkan diskriminasi sesama manusia kerana asasnya semua manusia adalah sama.

iii.   Huraikan dua nilai yang terdapat dalam sajak ini.                                               (4 markah)
      
-          Nilai kasih sayang – penyajah ingin menjelajah bumi untuk menyebarkan rasa kasih sayang sesama manusia.
-          Nilai mencintai alam – penyajak menggambarkan kesukaannya terhadap gerimis di Kota London dan angin dingin yang tajam di Washington.


Teknik Menjawab Soalan Pemahaman Novel

KERTAS 2 SPM: SOALAN 4 (a) dan (b)
  1. Berdasarkan keperluan peperiksaan, ingatlah bahawa jawapan anda untuk ceraian soalan (a) dan soalan (b) mestilah berdasarkan sebuah novel sahaja, maksudnya novel yang sama untuk kedua-dua ceraian soalan berkenaan.
  2. Seterusnya, teknik menjawab soalan mestilah menepati kehendak konsep. Contohnya, untuk soalan berkonsep pengajaran, jawapan anda mestilah menggunakan kata “janganlah” dan “hendaklah”.
  3. Begitu juga halnya, jawapan anda untuk soalan berkonsep watak mestilah menekankan sifat watak dan bukannya peristiwa yang melibatkan watak.
  4. Setiap isi jawapan mestilah disertai contoh. Contoh dapat mengukuhkan isi jawapan dan contoh dapat juga membuktikan bahawa anda telah membaca teks novel yang berkenaan.
  5. Kepanjangan jawapan anda seharusnya disesuaikan dengan jumlah markah yang diperuntukkan. Oleh sebab markah yang diperuntukkan hanya tujuh dan lapan sahaja, maka lapan hingga sepuluh ayat sudah cukup untuk anda mendapat markah penuh bagi setiap ceraian soalan.
  6. Yang penting anda berikan sebagai jawapan ialah isi yang betul dan contoh yang tepat. Empat isi yang betul dengan contohnya yang tepat sudah memadai bagi anda memperoleh markah penuh.

Pemahaman Teks Harga Remaja


2 (d) PUISI

“Pantun Empat Kerat (Budi)”
Baca pantun di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Terang bulan terang di paya,
Anak kambing memakan rumput;
Jika tak kenang kepada saya,
Nama yang baik tidak tersebut.

Anak merak mati tersangkut,
Mati dipanah Seri Rama;
Resam di dunia juga disebut,
Orang yang mati meninggalkan nama.

Anak itik terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan;
Budi sedikit bila kan hilang,
Itu menjadi tenang-tenangan.

Anak ikan berlima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun;
Kasih tuan saya terima,
Sebagai hutang seribu tahun.
(Antologi Harga Remaja, halaman 5).


i. Berikan maksud rangkai kata orang yang mati meninggalkan nama. (2 markah)
Rangkai kata orang yang mati meninggalkan nama membawa maksud seseorang yang besar sumbangan jasanya masih lagi dikenang dan diingati oleh semua orang walaupun jasadnya sudah dikandung tanah.

ii. Pada pendapat anda, apakah akibatnya jika seseorang itu tidak mengenal budi?(3 markah)
Pada pendapat saya, masyarakat akan hilang kepercayaan terhadap orang yang tidak mengenal budi. Selain itu, kehidupannya tidak berkat kerana dia akan dipandang keji oleh masyarakat. Masyarakat juga akan memandang serong terhadap setiap perbuatan yang dilakukan dan menimbulkan kebencian serta disisih oleh masyarakat.

iii. Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam pantun tersebut. (4 markah)
Nilai murni yang pertama adalah keikhlasan. Contohnya, setiap perbuatan, sumbangan, atau pertolongan dilakukan dengan hati yang ikhlas. Nilai mengenang budi turut diselitkan dalam pantun ini. Contohnya walaupun sedikit sahaja kita berbudi dengan orang, budi kita tetap diingat oleh orang sampai bila-bila.





“Sajak Harga Remaja” (Rahman Shaari)
Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Melangkah ke ruangmu Tak terteroka
Satu pertukaran yang kontras Yang akan kucatat
Dari kehangatan merata Hanya setitik dari tinta
Ke kedinginan yang menerpa Yang akan kupetik
Terlalu hening di sini Hanya sebiji dari mutiara
Gua pendeta bersemadi Engkau adalah pusaka moyang
Di puncak sepi Gedung peradaban insan
Di sana sini Terhimpun berzaman
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar dahaga
Maju ke ruang buku Di dada samudera
Terlalu kerdil aku di sini Tak berpantai
Terapung di laut ilmu Betapapun kuteguk darinya
Tercurah berzaman Dahaga tak pernah langsai
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari (Antologi Harga Remaja, halaman 18-19).
Bahtera ilmu di sini


i. Apakah maksud dahaga tak pernah langsai berdasarkan sajak di atas? (2 markah)
Rangkai kata dahaga tak pernah langsai bermaksud menuntut ilmu itu tiada had sempadannya, selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah kita disarankan menuntut ilmu seberapa banyak yang mampu.

ii. Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat. (4 markah)
Pada pendapat saya, cara untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat adalah ibu bapa digalakkan menyediakan bahan bacaan untuk anak-anak mereka bermula dari peringkat kanak-kanak lagi. Selain itu, mewujudkan kempen kesedaran tentang kepentingan membaca dan kempen menggalakkan masyarakat membaca. Di samping itu, pihak yang berkenaan boleh mengadakan pameran atau jualan buku dengan harga yang berpatutan bagi menarik minat pengunjung.

iii. Nyatakan tema dan persoalan-persoalan yang terdapat dalam sajak ini. (3 markah)
Sajak ini bertemakan perjuangan menuntut ilmu itu tiada batas sempadannya. Persoalannya adalah ilmu itu luas tidak terhitung, selagi hidup selagi itulah kita digalakkan menuntut ilmu. Persoalan lain ialah perpustakaan merupakan gedung ilmu yang wajar dimanfaatkan oleh masyarakat yang dahagakan ilmu pengetahuan.


2 (c) PROSA KLASIK
“Pelayaran yang Penuh Peristiwa”
Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Tuanku Nakhoda menjadi tersentak, “Hai anakku yang tidak tahu dek untung, mengapakah kau berkelakuan demikian ini di depan orang tua?”
Kerana mata ayahanda sudah kabur dan telinga ayahanda sudah pekak, sebab itulah anakanda berkata demikian. Cubalah ayahanda lihat siapakah di dalam petak jubung yang dilingkari sauh itu?”
Tuanku Nakhoda Tua segera menjengah ke petak jubung. Dilihatnya ada seorang muda yang sangat tampan dengan wajahnya berseri-seri bagai purnama empat belas hari bulan. Baginda tertegun kaum lalu kembali bertanya kepada puterinya. “Hai anakanda, siapakah pemuda yang di dalam jubung itu?”
“ Dialah budak hitam yang meminta tolong bayarkan hutangnya kepada ayahanda dulu, tetapi telah ayahanda nyahkan dia.”
“Siapa namanya?”
“Itulah Awang Sulung Merah Muda, anak Tuanku Si Helang Laut, cucu kepada Tuanku Si Helang Mawai. Dialah yang sebenarnya bertanggungjawab memeliharakan geliung dan isinya selama ini. Sekarang marilah ayahanda lihat isi geliung kita ini, telah penuhlah dengan wang dinar emas di dalam geliung itu. “ Panggilkan Awang Sulung ke mari!” perintah baginda kepada jurubatu sementara jurumudi mulai menggeletar ketakutan.
Awang Sulung enggan menghadap, kerana katanya beliau anak sakai yang tidak layak datang mengadap.
(Antologi Harga Remaja, halaman 40-41).

Berikan maksud rangkai kata kerana mata ayahanda sudah kabur dan telinga ayahanda sudah pekak. (2 markah)
Rangkai kata kerana mata ayahanda sudah kabur dan telinga ayahanda sudah pekak bermaksud Tuanku Nakhoda Tua tidak pandai membuat penilaian jasa dan kelebihan orang lain iaitu baginda hanya memandang luaran tanpa memandang aspek dalaman seseorang.
Apakah yang membuatkan Tuanku Nakhoda Tua mengagumi Awang Sulung? (3 markah)
Awang Sulung berjaya mengawal kapal dan segala isi yang ada di dalam kapal dengan baik dan sempurna. Selain itu Awang Sulung dapat mengumpulkan wang dinar emas yang banyak hasil pemberian lanun. Awang Sulung juga tidak suka menunjukkan kehebatannya sebaliknya lebih suka merendahkan diri.
Pada pendapat anda, mengapakah Awang Sulung enggan datang menghadap Tuanku Nakhoda Tua? (3 markah)
Pada pendapat saya, Awang Sulung enggan datang menghadap Tuanku Nakhoda Tua kerana dia berasa kecil hati kerana sebelum ini dia pernah diusir atau dihina oleh Tuanku Nakhoda Tua untuk meminta pertolongan membayarkan hutang. Awang Sulung juga berasakan darjat dirinya tidak setaraf dengan baginda. Selain itu, dia bersikap rendah diri kerana menganggap dirinya hanya menumpang teduh di dalam kapal dan masih berhutang.

Teknik Menjawab soalan komsas

PEMAHAMAN KOMSAS TINGKATAN 4.
PETUA MENJAWAB SOALAN KOMSAS
1. Baca petikan sekurang-kurangnya dua kali untuk mendapat gambaran menyeluruh dengan jelas.
2. Beri perhatian kepada persoalan atau isu utama dalam petikan.
3. Baca soalan yang diberikan dengan teliti dan fahami kehendaknya.
4. Bagi soalan menaakul maksud kata atau rangkai kata, cari kedudukan kata atau rangkai kata dalam ayat yang berkaitan.
5. Tentukan maksudnya dengan berdasarkan konteks ayat dalam petikan tersebut secara keseluruhannya.
6. Ketika menulis maksud kata atau rangkai kata, gunakanlah kata-kata anda sendiri dalam bentuk bahasa yang baku.
7. Kemukakan satu jawapan sahaja yang anda yakin menepati maksud rangkai kata yang berkenaan.
8. Jika terdapat kata yang berhuruf condong dalam soalan, tuliskanlah kata-kata itu semula dalam jawapan dengan tanda petik (“…..”).
9. Untuk soalan yang terdiri daripada dua bahagian, pastikan anda menjawab kedua-dua bahagian tersebut.
10. Bagi jawapan yang perlu ditulis dalam beberapa ayat, gunakanlah penanda wacana untuk memperlihatkan kesinambungan idea antara ayat tersebut.
11. Jika soalan menanyakan pendapat anda, berikan pendapat yang logis dan berkaitan dengan persoalan yang dikemukakan.
12. Untuk menulis jawapan, ambillah sebahagian daripada soalan sebagai permulaan jawapan dan gabungkan dengan jawapan sebenarnya dalam bentuk ayat yang lengkap.
13. Untuk mengelakkan kesalahan bahasa dalam jawapan, gunakan ayat yang ringkas.

PEMARKAHAN.
1. Untuk pemahaman markah KOMSAS, 26 markah diperuntukkan, iaitu 9 markah untuk soalan 2(b), 8 markah untuk soalan 2(c), dan 9 markah untuk soalan 2(d).
2. Setiap ceraian soalan diperuntukkan antara dua markah hingga empat markah.
3. Berilah jumlah isi yang sesuai dengan markah yang diperuntukkan. Contohnya, tiga isi untuk soalan yang diperuntukkan tiga markah.