Friday 22 July 2011

KARANGAN PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2011


 Peranan anda untuk membanteras kegiatan lumba motosikal haram daripada terus leluasa?

Kegiatan lumba motosikal haram semakin menjadi-jadi pada masa kini sehingga boleh dikatakan sudah menjadi tokak dan nanah kepada negara. Baru-baru ini rancangan 999 di TV3 telah menyiarkan kegiatan lumba motosikal haram dan melalui rancangan tersebut didapati majoriti pelumba haram ialah golongan remaja. Golongan remaja merupakan aset penting negara yang akan memimpin kita pada zaman atom akan datang. Seandainya, kebanyakan remaja kita terlibat dengan kegiatan lumba haram nescaya negara kita tidak akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Pelbagai minhaj yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan saya sebagai remaja yang prihatin turut berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam membanteras masalah ini. Oleh itu, terdapat variasi peranan yang boleh saya mainkan dalam membanteras kegiatan lumba motosikal haram di negara ini.

Peranan perdana yang akan saya lakukan bagi membanteras kegiatan lumba motosikal haram di negara kita ialah saya akan mengajak dan membimbing rakan-rakan saya daripda terus terjebak dalam kegiatan lumba haram. Hal ini demikian kerana remaja mudah terikut-ikut dengan perbuatan rakan sebaya. Demi memastikan rakan-rakan saya tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram, saya akan mendedahkan keburukan kegiatan lumba haram kepada mereka. Jika rakan saya meminati perlumbaan bermotor, saya akan menasihati mereka supaya mereka meyertai perlumbaan di litar yang dibenarkan oleh pihak kerajaan. Dasawarsa ini, banyak litar perlumbaan motosikal telah dibina seperti cendawan tumbuh selepas hujan di negara kita. Oleh itu, saya akan menasihati mereka supaya mereka melakukan anjakan paradigma daripada terjebak dengan lumba haram kerana perlumbaan haram boleh mengorbankan nyawa. Andai kata, saya tidak membimbing dan menasihati mereka, sudah pasti mereka akan hanyut dalam kegiatan lumba haram. Tegasnya, saya akan mengajak dan membimbing rakan-rakan saya supaya meninggalkan kegiatan perlumbaan motosikal haram ini dan seterusnya kegiatan lumba motosikal haram ini dapat dibanteras.

Seterusnya, pada hemat saya, para remaja juga boleh membanteras kegiatan ini daripada leluasa dengan mencadangkan pelbagai aktiviti yang bermanfaat kepada pihak sekolah. Pihak sekolah melalui kaunselor boleh melancarkan pelbagai program atau kempen yang bertujuan untuk membendung serta membanteras gejala lumba motosikal haram yang sering dilakukan oleh golongan remaja. Program yang dianjurkan oleh pihak kaunselor ini diharapkan mampu memberikan kesedaran dan keinsafan kepada pelumba- pelumba cilik di sekolah saya. Antara program yang boleh dilaksanakan adalah seperti mengadakan ceramah- ceramah kesedaran kepada para pelajar khususnya pelajar bermasalah yang sering terlibat dalam kegiatan ini. Sekiranya pihak sekolah dan kaunselor sama- sama berkolaboratif dalam menjayakan kempen membanteras kegiatan lumba motosikal haram di sekolah saya akan menurun. Jelaslah bahawa pihak sekolah melalui pihak kaunselor mestilah berganding bahu untuk melancarkan kempen dan program bagi membendung kegiatan ini daripada menjadi tokak dalam nadi kehidupan masyarakat dan negara.


Di samping itu, saya juga akan mengkhabarkan berita mengenai kegiatan lumba motosikal haram yang melibatkan kenalan saya kepada ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang bertanggungjawab dalam mendidik dan memantau setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Ibu bapa haruslah sentiasa mengambil berat perihal anak- anak mereka meskipun ketika anak- anak mereka melakukan aktiviti luar rumah. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah sentiasa memantau gerak-geri kerja anak- anak mereka terutamanya pada musim cuti persekolahan. Jika ibu bapa tidak memantau gerak- geri kerja anak mereka, sudah pasti anak- anak mereka mengambil peluang keemasan ini untuk melakukan aktiviti yang tidak bermoral seperti lumba motosikal haram. Oleh itu, sebagai remaja yang prihatin, saya akan melaporkan kegiatan lumba motosikal haram yang dilakukan oleh rakan- rakan saya kepada ibu bapa mereka sebelum masalah ini semakin membarah kerana pepatah Melayu ada mengatakan sediakan payung sebelum hujan.

Seterusnya, saya juga akan melaporkan kegiatan lumba haram yang semakin meruncing pada hari ini kepada pihak berkuasa supaya masalah ini tidak terus bermaharajalela dan membelenggu masyarakat kita. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak berkuasa seperti pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) merupakan agensi utama dalam membanteras masalah ini. Pihak berkuasa haruslah mempunyai modus operandi yang signifikan dalam membasmi kegiatan ini iaitu dengan mengadakan sekatan jalan raya dan rondaan di kawasan yang disyaki menjadi tempat lumba haram. Sekiranya saya tidak memainkan peranan saya iaitu dengan melaporkan kegiatan lumba haram kepada pihak berkuasa dan sekadar melakukannya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, sudah tentu kegiatan ini akan berlarutan dan menghantui kehidupan masyarakat kita. Sudah terang lagi bersuluh bahawa tanggungjawab saya sebagai seorang remaja yang prihatin amat membantu pihak kerajaan dalam mensifarkan kegiatan lumba haram di negara kita.


Selain itu, sebagai seorang remaja yang prihatin, saya juga akan mencadangkan tempat khusus untuk remaja berlumba kepada pihak kerajaan. Dengan hal yang demikian, kegiatan lumba haram dapat dikurangkan sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak litar lumba di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan remaja untuk menarik minat mereka agar tidak terjebak dalam kegiatan lumba haram. Litar-litar yang disediakan perlu dititikberatkan dari aspek keselamatan dan mempunyai sistem pengurusan yang sistematik di samping mengenakan kos yang lebih rendah agar remaja lebih berminat untuk mengunjunginya. Sekiranya pihak kerajaan tidak melaksanakan cadangan ini maka kegiatan lumba haram akan terus berleluasa dan menjadi bertambah serius. Sudah terang lagi bersuluh, saya juga akan mencadangkan tempat-tempat khusus untuk remaja berlumba kepada pihak kerajaan bagi membanteras kegiatan lumba haram bagi terus leluasa.

sebagai konklusinya, kegiatan lumba motosikal haram yang dilakukan oleh golongan remaja sememangnya mendatangkan impak negatif kepada diri, masyarakat dan negara malah turut menjadi virus epidemik yang akan menjatuhkan imej negara di mata dunia luar. Oleh hal yang demikian, begitu peri vitalnya remaja menyedari peranan mereka dalam membanteras kegiatan haram ini. Sebelum nasi menjadi bubur, kita sebagai remaja haruslah menggembleng tenaga untuk mengatasi kegiatan lumba motosikal haram ini daripada terus leluasa. Dengan mengetahui tanggungjawab kita sebagai seorang remaja, seyogia negara dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sekali gus meminimumkan statistik kematian di negara Malaysia.

Jenayah Siber

SALAH LAKU MORAL MENERUSI INTERNET

Kita sering digemparkan dengan kes-kes jenayah siber membabitkan penggodam profesional yang menceroboh laman-laman web sosial, kerajaan dan bank-bank bertaraf antarabangsa. Perbuatan itu mengakibatkan kerugian kepada syarikat-syarikat kewangan kerana penggodam tersebut membuat  pindahan wang bernilai jutaan ringgit. Sayangnya kes-kes sedemikian akhirnya  dilupakan begitu sahaja umpama layang-layang putus tali. Kes sedemikian menggambarkan betapa penciptaan peralatan komunikasi seperti internet telah disalahgunakan oleh segelintir masyarakat yang tidak bermoral untuk tujuan plagiasme. Secara ringkasnya, salah laku menerusi internet adalah bertentangan dengan etika, tatasusila dan salah di sisi undang-undang seperti yang ditegaskan oleh baginda  Rasulullah s.a.w yakni “Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu”.

Perlakuan salah laku menerusi internet melibatkan perlakuan gangguan seksual. Hal ini demikian kerana segelintir masyarakat yang gilakan kebebasan seks menggunakan internet untuk menawarkan khidmat seks malahan ada yang memaparkan perlakuan sumbang yang bertentangan dengan nilai, etika dan peradaban manusia normal. Isu ini mungkin kecil tetapi kesannya kepada individu amat besar kerana salah laku sedemikian akan terus dimanipulasi tanpa pengujungnya,  ibarat kecurian maruah yang tidak dapat dikembalikan. Sebagai contohnya, aduan daripada Syarikat Komunikasi Multimedia (SKMM) mendakwa bahawa banyak laman sesawang yang telah diceroboh oleh golongan yang tidak bertanggungjawab untuk menghantar emel berbentuk lucah kepada teman-teman, rakan sekerja, dan pengguna lain. Tegasnya, salah laku internet ini jika dibiarkan ibarat membiarkan bisul kecil  yang akan memakan sel-sel tubuh dan tulang-temulang manusia sehingga menjadi bangkai bernyawa.

Perlakuan salah saku internet juga  menyebabkan manusia semakin hilang harga diri. Hal ini sedemikian menggambarkan bahawa generasi kini semakin cetek agama dan budaya. Hal ini dibuktikan daripada laporan seorang Ketua Perunding Pengurusan Perkhidmatan dan Perundingan, HiTech Managed Services yang mendakwa ramai pekerjanya telah menerima emel lucah   daripada  penggodam tidak bertanggungjawab. Sesiapa sahaja boleh mengirimkan emel sedemikian asal sahaja mereka mahir teknologi maklumat termasuklah kanak-kanak kerana kerja ini  sangat mudah dilakukan. Tambahan pula,  maklumat mengenai teknik menggodam begitu mudah didapati di Internet. Dalam hal ini, hanya keimanan dan didikan agama yang mantap boleh menjadi benteng kepada perlakuan ini. Pendita bijak pandai pernah mengatakan, “Kesilapan yang kecil boleh membawa banyak perkara buruk kepada mangsanya.”

Perlakuan salah laku tidak bermoral melibatkan sebilangan besar masyarakat merangkumi  golongan remaja dan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana ramai penggodam internet terdiri daripada golongan remaja. Mereka begitu mahir melakukan  penipuan, pencurian identiti, “phishing”, pencurian data, “spyware”, dan  “malware”.  Fenomena ini sangat  sukar untuk dikesan dan memberi impak negative kepada masyarakat dan negara. Sebagai contohnya, perbuatan salah laku moral penggodam internet telah menggunakan  laman web  untuk meraih  populariti seperti laman web Facebook dan Twitter. Mereka mencuri  maklumat peribadi, gambar-gambar dan video  dan menyalahgunakannya untuk tujuan yang tidak sihat. Oleh itu, semua pengguna  laman sesawang ini perlu berhati-hati kerana dibimbangi perbuatan mereka akan menyusahkan sendiri.  ibarat menepuk air di dulang  akhirnya terpercik  ke muka sendiri.

Langkah menangani kemelut ini perlu dilakukan agar kita tidak menjadi mangsa penggodam komputer. Dalam erti kata lain, seseorang itu mesti mempunyai etika siber kerana pengetahuan ini akan akan mengajar pengguna lebih berhemah dan  bertanggungjawab. Seandainya, setiap pengguna  mampu melaksanakan etika siber dengan baik sudah pasti  perlakuan salah laku tidak bermoral ini tidak berlaku. Selain itu, pengguna perlu mempunyai program antivirus yang baik, mengemas kini kata laluan, belajar untuk membuat kata laluan yang selamat serta tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali. Hal ini dibuktikan dari laporan  CyberSecurity Malaysia, sebanyak 4,000 kes jenayah siber dikenal pasti  berlaku di Malaysia sejak dua tahun lalu.  Pendek kata, jika pengguna internet mengamalkan sikap sediakan payung sebelum hujan, sudah tentu mereka akan dapat mengurangkan kes salah laku moral internet yang mereka layari. Prof Hamka pernah berpesan, “Gunalah akal kerana akal membentuk budi, membentuk kebudayaan dan tidak menjerumuskan manusia kepada kehancuran sebaliknya jika manuasia menggunakan hawa nafsu, ia akan membawa kesesatan”.

Pihak berwajib telah mengenal pasti bahawa perlakuan salah laku moral menerusi internet juga melibatkan kes jenayah komputer. Hal ini demikian dibuktikan daripada kajian Mohd Ali, wakil SKMM yang menegaskan bahawa  kebanyakan kes melibatkan pengeluaran wang mangsa tanpa kebenaran melalui mesin juruwang automatik (ATM) manakala kebanyakan kes jenayah Komunikasi dan Multimedia pula membabitkan perbuatan merosakkan rangkaian pondok telefon. Oleh itu, langkah menangani kes jenayah ini memerlukan kepakaran pihak berwajib, khasnya pihak polis dalam menangani jenayah ini. Justeru, pihak SKMM telah menganjurkan bengkel multimedia dengan PDRM. Hal ini bertujuan meningkatkan keupayaan pihak berkuasa dalam menangani siasatan dalam hal berkaitan jejayah siber.

Sebagai natijah daripada perbincangan ini, dapat saya simpulkan bahawa salah laku moral menerusi internet merupakan  masalah sejagat. Bermakna usaha membendungnya juga perlu kerjasama sejagat seperti kata peribahasa, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Yang berat sama kita pikul yang ringan sama kita jinjing, barulah masalah ini berjaya kita tangani. Pujangga juga pernah mengingatkan kita agar berfikir secara rasional tanpa dipengaruhi oleh naluri atau emosi merupakan satu cara menyelesaikan masalah yang paling berkesan.  Golongan muda merupakan pemangkin kesejahteraan negara dan mereka yang perlu diberi kesedaran tentang isu ini. Didikan agama yang mantap daripada ibu bapa, disusuli dengan kesepaduan pendidikan di sekolah dari aspek sahsiah dan jati diri akan membentuk golongan ini sebagai insan berpekerti mulia. Bijak mengendali arus pembangunan globalisasi dan tidak mudah tunduk dengan arus liberalisasi. Mereka mesti menjadi seperti  pepohon yang rendang tempat  insan tumpang berteduh, bukan sekadar  menjadi  seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api. Hal ini demikian kerana mereka merupakan pasak keutuhan negara pada masa akan datang, umpama madah pujangga yang berbunyi, teguh rumah kerana sasaknya, teguh negara kerana bangsanya.

Saturday 2 July 2011

PENANDA WACANA

PENANDA WACANA UNTUK MEMULAKAN AYAT PENDAHULUAN KARANGAN

· Sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu …
· Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah ….
· Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat.
· Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronal yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri.
· Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini …
· Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan …

PENANDA WACANA UNTUK AYAT TERAKHIR PENDAHULUAN KARANGAN

· Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
· Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
· Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.
· Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan …….
· Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

PENANDA WACANA UNTUK AYAT PERTAMA SETIAP PERENGGAN

· Kita dapat menyaksikan betapa…
· Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana…
· Lazimnya, dalam keadaan …
· Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah …
· Pada hemat saya …
· Pada pandangan saya …
· Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa …
· Sebagaimana yang kita ketahui
· Sebagaimana yang kita maklumi
· Sejak awal lagi
· Sejak kebelakangan ini
· Selain itu, pada masa ini juga
· Seperti yang telah dinyatakan
· Umum mengetahui bahawa
· Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas

PENANDA WACANA UNTUK AYAT 2 DAN SETERUSNYA DALAM KARANGAN

· Bagi sesetengah orang …
· Begitu juga dengan …
· Begitu juga halnya dengan …
· Bertitik tolak daripada itu …
· Bukan itu sahaja …
· Dalam hal ini …
· Dalam konteks ini ..
· Dalam zaman yang serba canggih ini …
· Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …
· Dengan adanya …
· Dengan berbuat demikian …
· Dengan perkataan lain ..
· Disebabkan hal itu
· Disebabkan keistimewaan inilah kita ..
· Hal ini berlaku disebabkan
· Hal ini penting dalam
· Hal ini serupa dengan
· Hal yang serupa berlaku apabila
· Ini disebabkan
· Ini membuktikan bahawa
· Ini menggambarkan bahawa
· Ini secara tidak langsung akan
· Ini semua meninggalkan kesan kerana
· Ini tentu sekali membuatkan
· Jadi kita perlu
· Jadi kita hendaklah
· Keadaan ini tentunya
· Lantaran itu sehingga kini
· Kesemua ini menyumbang kepada
· Kita mengakui hakikat bahawa
· Kita sering menonton di kaca televisyen
· Kita sering membaca di dada-dada akhbar
· Memandangkan keadaan yang sedemikian
· Namun sejak kebelakangan ini
· Oleh itu, bolehlah dikatakan
· Secara logiknya masa yang
· Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita
· Keadaan ini seharusnya boleh
· Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini
· Kendatipun demikian, kita masih
· Yang paling nyata ialah
· Yang perlu kita pastikan ialah

PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN STATISTIK

· Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati sebanyak
· Bukti yang jelas dan terkini yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan
· Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian ….. pada tahun …… menunjukkan bahawa sebanyak …………

PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN CONTOH

· Sebagai contohnya
· Biar kita lihat
· Biar kita ambil contoh
· Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah
· Sebagai analoginya,
· Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah

PENANDA WACANA UNTUK KESIMPULAN KARANGAN

· Intihanya,
· Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas
· Konklusinya,
· Dengan ini diharapkan
· Bukan itu sahaja
· Mudah-mudahan perkara ini
· Dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa
· Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perkara ini akan …
· Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama

KATA-KATA HIKMAT DIGUNAKAN DALAM KARANGAN

01. baik kaya ialah kaya hati,sebaik-baik bekal ialah takwa,seburuk-buruk buta ialah buta hati dan sebesar-besar dosa ialah berdusta.
02. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).
03. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. ~Horne
04. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.
05. Kalau hidup ingin merdeka, Tiada tercapai hanya berkata, Ke muka maju sekata, maju kita, Melemparkan jauh jiwa hamba. ~Usman Awang
06. "Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." ~Surah al-Hajj:77
07. "Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sajalah tempat meminta pertolongan" ~Surah Yusuf:18
08. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.
09. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. ~Davey John Schwartz
10. "Peristiwa itu memberi pengajaran kepada saya mengenai bagaimana guru besar perlu bersikap profesional dan tidak menggunakan emosi dalam melakukan tindakan." ~Tengku Habsah Tengku Petera (Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan)
11. "Satu perkara yang menakutkan saya pada masa ini ialah peningkatan gejala rasuah. Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki." ~Profesor Diraja Ungku Aziz
12. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.
13. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.
14. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.
15. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.
16. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. ~ Saidina Ali Abu Talib
17. Sabda Rasulullah s.a.w: "Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu."
18. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.
19. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (surah Al-Baqarah:214)
20. Kekitaan yang erat tiada yang berat.
21. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.
22. Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu; dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya. - SAIDINA ABU BAKAR
23. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Kesihatan yang hilang boleh diperolehi dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.
24. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.
25. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati.