Friday 12 August 2011

PEMAHAMAN NOVEL SUTERA DALAM LUKISAN

SUTERA DALAM LUKISAN


  1    - Tema yang menarik merupakan pendorong kepada pembaca untuk membaca sesebuah novel. Nyatakan tema novel yang telah anda baca.

       2    - Pengarang menyelitkan beberapa persoalan dalam novel yang telah anda baca. Huraikan tiga persoalan utama dalam novel tersebut.

       3    - Banyak peristiwa yang dipaparkan dalam novel mengandungi nilai murni. Berdasarkan novel yang telah anda baca, bincangkan tiga peristiwa yang membawa nilai murni yang berbeza.

       4    - Cerita dalam novel sememangnya memaparkan latar masyarakat sezaman. Nyatakan tiga latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang telah anda baca.

       5    - Latar tempat yang terdapat dalan sesebuah novel menjadikan cerita lebih realistik. Berdasarkan novel yang telah anda kaji, huraikan tiga latar tempat utama.

       6    - Pengakhiran sesebuah cerita dalam novel akan memberikan kepuasan kepada pembaca. Huraikan pendapat tersebut berdasarkan novel yang telah anda kaji.

       7    - Klimaks merupakan unsur utama dalam plot sesebuah cerita. Daripada novel yang telah anda baca, jelaskan persitiwa yang menjadi klimaks dalam novel tersebut.

       8    - Novel yang telah anda kaji mengandungi beberapa persoalan utama. Huraikan tiga peristiwa yang mendokong persoalan kegigihan dalam novel tersebut.

       9    - Watak adalah unsur penting yang menghidupkan dan menggerakkan cerita. Huraikan tiga perwatakan watak utama dalam novel yang anda baca.

       10   - Watak utama dalam sesebuah novel banyak menghadapai cabaran. Nyatakan cabaran watak utama dalam novel yang anda baca.

       11   - Pembaca novel akan mendapat banyak pengajaran berguna yang boleh dijadikan panduan hidup. Jelaskan tiga pengajaran utama yang dapat anda petik daripada novel yang telah anda kaji.

       12   - Nilai kasih sayang terdapat dalam kebanyakan novel yang bercorak kemasyarakatan. Huraikan tiga nilai tersebut berdasarkan novel kajian anda.

       13   - Konflik yang timbul dalam cerita membuatkan cerita semakin berkembang. Berdasarkan novel kajian anda, nyatakan peranan watak utama dalam menyelesaikan konflik.

       14   - Watak sampingan dalam sesebuah novel juga penting dalam menggerakkan cerita. Nyatakan peranan satu watak  sampingan berdasarkan novel yang telah anda baca.

       15   - Sesebuah novel banyak memaparkan peristiwa yang dapat dijadikan teladan. Berdasarkan novel kajian anda, jelaskan peristiwa yang memberi teladan kepada pembaca.

       16   - Novel yang telah anda baca mengandungi banyak peristiwa menarik. Nyatakan tiga peristiwa menarik dalam novel tersebut.

       17   - Watak-watak dalam sesebuah novel akan bertentangan dengan sebahagian watak yang lain. Berdasarkan novel yang telah anda baca, nyatakan tiga peristiwa menunjukkan penentangan watak.

       18   - Latar masyarakat yang dipaparkan dalam sesebuah novel mempunyai nilai tersendiri. Huraikan tiga nilai kemasyarakatan dalam novel yang anda kaji.

       19   - Cerita dalam novel menyelitkan banyak nilai murni. Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, huraikan tiga contoh yang menunjukkan nilai ketekunan.

       20   - Banyak peristiwa yang digambarkan dalam sesebuah cerita mencerminkan persoalan yang ingin disampaikan oleh pengarang. Berpandukan novel yang anda kaji, jelaskan tiga peristiwa yang mencerminkan persoalan maruah.

       21   - Kebanyakan konflik dalam cerita sesebuah novel melibatkan watak utama. Jelaskan cara watak utama menyelesaikan konflik yang dihadapi berdasarkan novel yang telah anda baca.

       22   - Tajuk sesebuah novel amat berkaitan dengan cerita dalam novel tersebut. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan kesesuaian tajuk novel dengan isinya.

       23   - Permulaan yang menarik dalam sesebuah novel akan mempengaruhi pembaca untuk meneruskan pembacaan hingga akhir. Huraikan pernyataan tersebut berdasarkan novel kajian anda.

       24   - Cerita yang menarik dalam sesebuah novel akan meninggalkan kesan perasaan kepada pembaca. Nyatakan tiga peristiwa yang meninggalkan kesan kepada anda berpandukan novel yang anda baca.

       25   - Setiap peristiwa dalam novel berlaku dalam latar masa tertentu. Berdasarkan novel kajian anda, jelaskan tiga latar masa yang penting.

       26   - Watak utama mencerminkan banyak nilai murni. Huraikan tiga contoh nilai ketabahan watak utama dalam novel yang anda kaji.

       27   - Cerita dalam novel memaparkan kisah yang berlaku dalam sesebuah masyarakat. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tiga peristiwa yang menggambarkan  kepincangan dalam masyarakat.

       28   - Plot dalam sesebuah cerita berkembang mengikut peringkat. Huraikan plot novel yang telah anda baca.

       29   - Pengarang telah menggunakan beberapa teknik plot agar penyampaian cerita menjadi lebih menarik. Nyatakan tiga teknik plot yang terdapat dalam novel kajian anda.

       30   - Novel yang telah anda baca adalah sebuah novel yang menarik. Tuliskan sinopsis cerita novel tersebut.

ANALISIS NOVEL SUTERA DALAM LUKISAN

ANALISIS NOVEL SUTERA DALAM LUKISAN

                                                               Sutera Dalam Lukisan
                                                                (Abd. Talib Hassan)

SINOPSIS
Novel ini memaparkan kisah seorang pemuda yang mengalami konflik jiwa akibat kematian ibunya yang telah dibunuh oleh bapa tirinya.  Kenangan pahit itu telah menjadikan Bujei atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz, akhirnya telah menjadi sasau akibat sering menjadi cemuhan, dipandang hina, dipermain dan diperbudakkan oleh masyarakat kampung malah  bapa tirinya, Harun juga sering menyeksanya malah telah cuba mengambil peluang untuk merampas hak milik Bujei yang ditinggalkan oleh arwah ibunya.Hidupnya keseorangan dan menanti permata hati untuk menerangi semula sinar hidupnya.  Kehadiran Adila telah mengubah segala-galanya dan Bujei mulai merasai erti sebuah kehidupan.  Namun banyak ranjau duri yang terpaksa diharunginya untuk meneruskan hubungan persahabatan bersama Adila.  Alias yang turut menyimpan perasaan terhadap Adila terus menyimpan dendam terhadap Bujei dan Adila.  Satu demi satu rancangan jahat diatur dalam usaha untuk memiliki Adila.  Bujei diperdaya hingga akhirnya dia mempercayai Adila akan mengahwini Alias malah Adila turut difitnah menghidap penyakit AIDS kerana pernah menuntut di luar negara.  Dendam yang kian membara menyebabkan Alias meminta khidmat neneknya untuk mendapatkan ilmu pengasih yang akan mendorong Adila tunduk kepada kehendaknya.  Alias yang dirasuk kerinduan akhirnya telah menjadi sasau dan sanggup merayu kepada Bujei untuk mengharapkan simpati serta pengertian daripada Bujei supaya memujuk Adila menerima dirinya.  Akhirnya, Alias sendiri terpaksa mendapatkan khidmat daripada dukun yang sama dalam usaha untuk memulihkannya.  Orang kampung pula kini telah melihat perubahan diri Bujei yang menjadi manusia normal berbanding Alias yang kini telah mengambil alih tempat Bujei. Sebelum pulang ke kota, Adila telah meluahkan isi hatinya kepada Sidang Saman dan isterinya tentang keputusannya untuk menerima Hafiz sebagai pasangan hidupnya. Adila akhirnya terpaksa kembali ke kota kerana ditawarkan pekerjaan sebagai seorang pensyarah di salah sebuah universiti swasta.

TEMA
Konflik jiwa seorang pemuda dalam mengharungi kehidupan setelah kematian kedua ibu bapa dan neneknya. Pandangan negatif orang kampung akibat fitnah yang ditabur oleh bapa tirinya telah membentuk keperibadiannya menjadi manusia abnormal.  Kehadiran Adila telah membawa sinar baru dalam hidup pemuda tersebut dan kembali menjadi manusia normal seperti sediakala.


PERSOALAN
1. Persoalan tanggungjawab membantu sesama manusia tanpa mengira sifat individu  seperti yang digambarkan melalui watak Adila yang begitu optimis untuk membentuk semula keperibadian abnormal yang dihidapi oleh Hafiz.
2. Persoalan menghormati hak individu tanpa menghilangkan hak diri sendiri yang digambarkan melalui watak Bujei atau nama sebenarnya Hafiz yang akhirnya sedar akan haknya setelah mendapat bimbingan dari Adila.
3. Persoalan kebaikan akan mengatasi kebatilan seperti yang tergambar dalam peristiwa Alias yang cuba mengenakan ilmu pengasih terhadap Adila telah menyebabkan dia mendapat pembalasan akibat perbuatannya sendiri.
4. Persoalan sifat kasih sayang dan hati yang luhur mampu mengubah sifat seseorang seperti yang digambarkan melalui watak Adila yang telah membimbing Bujei atau Hafiz untuk membentuk semula keperibadiannya telah berjaya mengubah Bujei menjadi insan yang berjaya.
5. Ketegasan dalam pendirian seperti yang tergambar melalui watak Wak Senen yang tegas dalam pendiriannya untuk mengembalikan hak Bujei yang telah dianiaya oleh bapa tirinya.
6. Persoalan jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Walaupun Adila pada asalnya begitu takut dengan Bujei, tetapi akhirnya telah memilih Bujei menjadi pasangan hidupnya. Walaupun telah bertunang dan berjanji sehidup semati dengan Faizal, tetapi akhirnya Faizal berkahwin dengan orang lain dan bukan dengan tunangnya Adila.
7. Persoalan berani mempertahankan hak atau harta daripada dirampas oleh orang lain. Bujei telah menunjukkan sikapnya yang tegas dan tidak boleh dipermainkan oleh Alias apabila meminta ganti rugi sebanyak RM80 sebagai gentian radionya yang telah rosak akibat perbuatan Alias.

PLOT
Plot dihuraikan secara kronologi iaitu bersandarkan kepada hukum sebab dan akibat. Manusia yang berbuat baik akan memperoleh pembalasan yang baik juga dan begitulah sebaliknya.
Binaan Plot
(i) Eksposisi(permulaan)
• Menceritakan watak utama iaitu Bujei yang digambarkan sering mengunjungi  latar tempat di kampung. Digambarkan juga  latar masa iaitu pada waktu senja dan latar masyarakat kampung Bujei yang telah menganggap Bujei sebagai insan abnormal.
(ii) Perkembangan
• Kematian ibu Bujei yang bernama Fatimah yang dibunuh oleh bapa tirinya merupakan titik hitam dalam kehidupannya.  Bujei menjadi sasau dan sering dicemuh dan dipermainkan oleh masyarakat kampung.  Perkenalan dengan Adila telah mengubah hidupnya menjadi seorang yang lebih berkeyakinan untuk meneruskan kehidupan.  Dalam masa yang sama dia menaruh hati kepada Adila.  Adila juga diminati oleh Alias, Sahak dan Faizal, bekas tunangnya.
(iii) Klimaks
• Alias berusaha menculik Adila dan dengan bantuan neneknya, mencari ubat pengasih untuk mendapatkan Adila. 
(iv) Peleraian
• Adila juga menaruh hati kepada Bujei (Hafiz).  Hal ini menyebabkan Alias menjadi sasau kerana cintanya tidak kesampaian. Adila ditawarkan untuk berkhidmat sebagai pensyarah di salah sebuah universiti swasta di kota.

TEKNIK PLOT
1. Pemerian
Contoh:  
• Anak sungai itu tidak begitu lebar. Hanya lebih kurang sembilan meter jarak antara dua belah tebing, tidak dalam dan agak cetek airnya ketika itu.

2. Dialog
Contoh: 
• ”Lepaskan motor aku ni... aku nak pergi ambil duit,” kata Alias.
3. Imbas Kembali
Contoh: 
• Dan dia sendiri telah menanam cita-cita untuk mengikut jejak bapanya. Tragedi pertama menimpanya apabila bapanya meninggal dunia dalam satu kemalangan di lebuh raya Karak.
4. Imbas Muka
Contoh: 
• Mungkinkah penyakit Adila sudah menjadi-jadi? Mungkinkah Adila sudah dibawa ke rumah sakit? Terlintas juga difikirannya untuk menjenguk dan melihat keadaan adila.
5. Monolog Dalaman
Contoh: 
• Dan sempat juga Adila memikirkan hal Bujei. Mungkin Bujei juga sudah tahu sehingga terasa malu untuk datang menemuinya. Dia terfikir untuk pulang ke kota, meninggalkan kampung yang tidak lagi memberi kedamaian kepadanya.
6. Suspens
Contoh:
• Sambil memaki-hamun, kata-kata makian yang sering digunakan oleh Alias ke atas dirinya, Bujei menghayunkan parangnya di arah Alias.

WATAK/PERWATAKAN

Watak Utama – Bujei/ Hafiz
• Bercita-cita untuk menjadi askar seperti arwah bapanya. Sewaktu dirinya kecil, dia sering menjadikan bapanya sebagai idola.
• Suka berangan-angan menonton dan mendengar radio yang telah rosak di rumahnya.
• Takut dengan Alias. Setiap perkara yang diminta oleh Alias akan dilakukan oleh Bujei tanpa sebarang bantahan.
• Tidak mementingkan kebersihan tetapi berubah setelah dilatih oleh Adila. Membuang perkakasan yang tidak berguna di rumahnya dan membakarnya di halaman rumah.
• Suka mendengar radio. Sanggup membeli radio baru sewaktu keluar pekan bersama Samsul.
• Mempunyai bakat menyanyi. Bujei menyanyi lagu Bahtera Merdeka sewaktu majlis perkahwinan Same’ah dan berjaya memukau orang ramai dengan kemerduan suaranya.
• Mempunyai sifat suka berjimat. Tidak menggunakan wang pemberian Wak Senen yang besar nilainya dan menyimpannya dengan rapi di dalam kendi di rumahnya.
• Pulih dari sikap abnormal menjadi normal dengan bantuan Adila. Keyakinan dirinya hadir kembali dengan bantuan Adila dan keluarga Sidang Saman.
• Anak yang bertanggungjawab. Cuba menyelamatkan ibunya daripada kebakaran rumahnya tetapi tidak berjaya kerana api marak terlalu cepat dan dia dihalang oleh orang ramai daripada memasuki rumahnya yang terbakar.
• Seorang pemuda yang mempunyai sikap abnormal. Dia membentuk peribadinya melalui pandangan penduduk kampung yang menganggapnya bodoh, dungu dan tidak berakal.
• Tidak memilih pekerjaan, asalkan mendatangkan upah untuk dia mengalas perut.

Watak sampingan
1. Adila
• Lulusan universiti luar negara iaitu di England.
• Mempunyai sifat optimis dan percaya sikap abnormal Bujei dapat dipulihkan.
• Telah bertunang dengan Faizal tetapi putus kerana Faizal tidak menepati janji dan berkahwin dengan orang lain. Akibat kecewa, dia telah membawa dirinya pulang ke kampung dan tinggal dengan keluarga Pak Longnya iaitu Sidang Saman dalam jangka masa yang panjang.
• Mempunyai pendirian yang tegas kerana menolak pinangan Alias dengan alasan belum bersedia untuk mendirikan rumahtangga.
• Lemah lembut dan hormat kepada orang lain terutamanya orang yang lebih tua. Sewaktu tinggal di kampung, Adila sering mendapat pujian penduduk kampung.
• Menjadi mangsa fitnah Alias. Alias telah memfitnah Adila telah ’rosak’ sewaktu belajar di luar negara.
• Jatuh cinta dengan Bujei/ Hafiz. Telah meluahkan isi hatinya kepada Sidang Saman dan isterinya tentang perasaannya terhadap Bujei sebelum pulang ke Kota.
2. Alias
• Suka membuli Bujei/ Hafiz. Contohnya meminta Bujei mencuci motosikalnya dengan menjanjikan upah tetapi memungkirinya.
• Suka kepada Adila dan menghantar pinangan tapi ditolak. Cuba mendekati Adila setelah gagal mendapatkan Same’ah.
• Suka terlibat dalam perlumbaan motor. Contohnya sewaktu berlumba motor dengannya, Sahak telah terlibat dalam kemalangan dan kritikal di hospital.
• Bercakap kasar. Contohnya sering bercakap kasar terutamanya dengan Bujei.
• Cuba menculik Adila dan mengenakan ilmu pengasih kepada Adila. Meminta bantuan dari neneknya untuk mencari ilmu pengasih.
• Cuba memfitnah Adila setelah pinangannya ditolak.
• Akhirnya menjadi sasau/ gila.

3. Sidang Saman
• Mengambil berat akan anak buahnya. Contohnya sering bertanyakan khabar Bujei dan akan meminta anaknya mencari Bujei sekiranya tidak melihat kelibatnya di kampung.
• Bijak memerangkap orang yang bersalah melalui kata-kata. Contohnya sewaktu berbicara dengan Harun yang meminta pandangannya ketika ingin menjual tanah pusaka arwah isterinya.
• Menjadi pangkal rujuk permasalahan Adila. Terutama sewaktu Adila mula jatuh cinta dengan Bujei.

4. Same’ah
• Bertimbangrasa dan baik dengan Bujei. Contohnya sering mengambil berat akan diri Bujei.
• Anak Sidang Saman.
• Berkahwin dan mengikut suaminya berpindah ke Ipoh.
5. Harun
• Seorang duda.
• Berkahwin dengan Fatimah, ibu Bujei setelah kematian bapa Bujei.
• Bekerja sebagai mandur di ladang kelapa sawit.
• Panas baran dan sering memukul serta mendera isterinya.
• Mengikis wang peninggalan bekas suami Fatimah.Melakukan keganasan terhadap isteri dan anak tirinya Bujei sehingga isterinya terbunuh dalam kebakaran akibat dari perbuatannya dan anak tirinya menjadi sasau.
• Suka berpura-pura. Contohnya berpura-pura baik dengan Bujei untuk mendapatkan tanda tangan Bujei bagi membolehkan dia menjual harta pusaka peninggalan Fatimah.
6. Wak Senen
• Suka bersedekah. Sering memberi wang kepada Bujei dengan nilaian yang besar.
• Baik hati. Contohnya sanggup memulangkan semula tanah pusaka peninggalan ibu Bujei yang telah dijual oleh bapa tirinya Harun.
• Mengambil tindakan dengan teliti. Contohnya sering berbincang dengan Sidang Saman sebelum melakukan sesuatu perkara seperti yang dilakukan sewaktu ingin memulangkan semula tanah pusaka Bujei.

GAYA BAHASA

1. Simile
Contoh:
• ”Jangan takut”. Dia mendengar lagi, seperti memujuk pula.
2. Personifikasi
Contoh:
• Angin lembut bersih menjamah tubuhnya dan ledakan bunyi air membuai perasaannya.
3. Hiperbola
Contoh:
• ”Macam seorang pembunuh yang suka membunuh orang... tak kira tempat atau masa, tak kira sesiapa aje?”
4. Sinkope
Contoh:
• Tak tentu perasaan Bujei mendengar suara Adila dan sebutan yang begitu hormat dirasakannya.
5. Metafora
Contoh: 
• Tidak pernah diduga, apa lagi mengharapkan satu lorong yang akan membebaskan dirinya daripada pasung peribadi itu.
6. Kata Ganda
Contoh:
• Dia bagaikan merindui tempat-tempat dan lorong-lorong yang biasa dikunjunginya.

NILAI

1. Nilai kasih sayang
Contoh:
• Bujei cuba menyelamatkan ibunya dalam kebakaran rumahnya. Ibunya pengsan setelah didera oleh bapa tirinya ketika itu.
2. Nilai hormat menghormati
Contoh:
• Adila telah memanggil Bujei dengan nama asalnya iaitu Hafiz.
3. Nilai baik hati
Contoh:
• Adila dan Samsul telah membawa Bujei ke klinik untuk mendapatkan rawatan setelah dibelasah oleh Harun.
4. Nilai keadilan
Contoh:
• Sidang Saman meminta Alias membayar ganti rugi atas kerosakan radio Bujei.
5. Nilai keberanian
Contoh:
• Bujei berani mempertahankan dirinya daripada ditindas oleh Alias.

PENGAJARAN

1. Kita hendaklah menerima ketentuan atau takdir Tuhan.
Contoh
• Bujei menerima hakikat ibunya yang meninggal dunia akibat perbuatan bapa tirinya.
2.  Kita janganlah bersifat dengki sesama manusia.
 Contoh: 
• Alias yang telah memfitnah Adila setelah pinangannya ditolak.
3.  Kita hendaklah membantu golongan yang kurang bernasib baik.
 Contoh: 
• Adila optimis dia boleh membantu Bujei memulihkan keperibadiannya dan perkara itu dapat direalisasikannya.
4.    Kita hendaklah berpegang teguh kepada janji yang telah dibuat.
 Contoh: 
• Faizal tidak menepati janjinya untuk bernikah dengan Adila kerana telah berkahwin dengan orang lain.
5.    Kita janganlah bercakap bohong.
 Contoh: 
• Alias telah membohongi Bujei dengan mengatakan bahawa Adila menghidapi penyakit Aids untuk menjauhkan perhubungan mereka.
6.    Kita janganlah mudah mempercayai perkara karut.
 Contoh:
• Alias berpakat dengan neneknya untuk mencari ilmu pengasih bagi mendapatkan cinta Adila.
7.    Kita janganlah mementingkan diri sendiri untuk mencapai cita-cita.
 Contoh: 
• Alias tidak mempedulikan Sahak yang terlibat dalam kemalangan sewaktu berlumba motor dengannya.

LATAR

Latar Masa
1. Waktu pagi  - ”Okey, Good moorning Bujei”
2. Waktu maghrib – Kedengaran bunyi azan maghrib dan spontan Sidang Saman menoleh ke belakangnya.
3. Waktu petang – Makin petang merangkak, makin galak agas-agas menghurungnya.
Latar Tempat
1. Di tebing sungai  -  Kadang-kadang di berada di tebing itu untuk  memancing.
2. Rumah Mak Usu Bakyah – Sebenarnya sudah agak lama Mak Usu Bakyah mengharapkan kedua-dua anak saudaranya bertandang tidur di rumahnya.
3. Di pekan -  Samsul membawa Bujei ke pekan untuk menggunting rambut,membeli radio,jam dan pakaian.
Latar Masyarakat
1. Masyarakat kampung yang memandang rendah kepada orang yang kurang bernasib baik.
Contoh:
• Kebanyakan orang mengatakan dia bodoh, dungu, tidak berakal lalu seperti tertunai hasrat mereka begitu.
2. Masyarakat kampung yang mempunyai norma kemanusiaan.
Contoh:
• Sidang Saman begitu mengambil berat tentang Bujei dengan membawa Bujei balik ke rumahnya setelah dipukul oleh Harun
3. Masyarakat yang mengambil kesempatan atas kesenangan orang lain.
Contoh:
• Baru sahaja beberapa bulan berkahwin, Harun sudah memujuknya untuk membeli kereta.


4. Masyarakat yang mengamalkan kerjasama.
Contoh:
Penduduk kampung bekerjasama untuk mengadakan majlis perkahwinan Same’ah.
5. Masyarakat  pendendam
Contoh:
Melihat Bujei kembali bersama Adila, kemarahannya makin menjadi. Dia makin berdendam dengan Bujei

PEMAHAMAN NOVEL RENYAH

CEMERLANG BAHASA MELAYU

LATIHAN 1

 (a) Latar tempat merupakan ruang sesuatu peristiwa itu berlaku serta dapat mencerminkan perwatakan sesuatu watak. Jelaskan latar tempat dalam novel yang telah anda pelajari.
Jawapan:
Latar tempat yang terkandung dalam novel ini ialah:
Di rumah Datuk Dolhi : Tempat Datuk Dolhi dan isterinya berbincang tentang anak-anak.
Di Bukit Serakah : Tempat Datuk Dolhi dan Albert Lee berjoging.
Di Wisma Dolhi-Albert Lee Holding : Tempat beroperasinya perniagaan Datuk Dolhi.
Di Jepun : Tempat Wahi belajar serta tempat Datuk Dolhi bercuti selama dua minggu.
Di Teratai Inn : Tempat Hasnol berjumpa dengan Tengku Munir berkaitan dengan tender Jambatan Kota yang bernilai RM80 juta.
Di Kelab Mawar : Tempat Amera bertemu dengan lelaki yang meminatinya, iaitu YB Wahab.
Di Lapangan Terbang Narita : Tempat Wahi menjemput ayahnya yang datang dari Malaysia.
Di kawasan hutan di Sarawak : Tempat Ilham menghasut orang-orang asli supaya menunjuk perasaan terhadap penerokaan hutan dan pembalakan.


(b) Huraikan secara ringkas bahagian peleraian novel yang telah anda kaji.
Jawapan:
Peleraian novel ini ialah:
Wahi pulang dari Jepun dengan isterinya, Yuka seorang warga Jepun.
Wahi dilantik sebagai pengarah syarikat menggantikan Datuk Dolhi yang bersara.
Datuk Dolhi berehat mencari ketenangan sambil berdoa agar anak-anaknya diberikan hidayah.


LATIHAN 2

(a) Huraikan klimaks novel yang telah anda kaji.

(a) Klimaks novel ini ialah:

Klimaks dalam novel ini bermula pada majlis pernikahan Amera. Di majlis ini, Datuk Dolhi bertemu dengan rakannya, Ustaz Wahab dan bercerita tetang Mukhlis. Mereka mencari Mukhlis tetapi gagal sehinggalah mendapat berita bahawa Mukhlis menjadi tidak siuman dan cuba menyerang tuk guru dan kini merayau-rayau sambil membawa pedang. Sementara itu, Hasnol didesak oleh Tengku Munir supaya meluluskan semua tendernya dan gesaan ini menyebabkan Hasnol berasa tertekan kerana dia tahu bahawa dia tidak dapat berbuat demikian. Walau bagaimanapun, Hasnol meneruskan percutian dengan keluarganya. Tengku Munir yang tidak berpuas hati melaporkan kepada Menteri Besar. Akhirnya Hasnol ditahan semasa pulang dari percutian. Dani pula ditahan oleh polis kerana terlibat dalam penagihan dadah. Berita penangkapannya disiarkan dalam akhbar yang menyebabkan imej Datuk Dolhi terjejas. Ilham dianggap pengkhianat negara kerana memburuk-burukkan negara berkaitan dengan isu pembalakan. Semua kejadian yang dialami oleh anak-anak Datuk Dolhi menaikkan kemarahan Albert Lee dan mahu merampas tampuk penguasaan dalam syarikat.
(b) Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, jelaskan empat nilai murni yang terkandung dalam novel tersebut.

Jawapan:

Nilai murni yang terkandung dalam novel ini ialah:
Kasih sayang
Albert Lee tetap meluangkan amsa bersama-sama dengan isteri dan anak-anaknya walaupun sibuk dengan urusan perniagaannya.
Patriotik
Datuk Dolhi yang menggunakan kereta buatan Malaysia walaupun dia mampu untuk menggunakan kereta mewah yang diimport.
Ketabahan
Datuk Dolhi tetap tabah menghadapi pelbagai musibah angkara perbuatan anak-anaknya.
Kerajinan
Datuk Dolhi rajin membaca pelbagai bahan bacaan bagi memantapkan ilmu keusahawanannya.
Peter Lim.

SOALAN PEMAHAMAN RENYAH

PEMAHAMAN NOVEL RENYAH
(a) Apakah pengajarab yang terdapat dalam nove Renyah?

Jawapan:  Pengajaran yang terkandung dalam novel ini ialah:

Jangan mengamalkan rasuah untuk hidup senang.
Contohnya, Hasnol yang kesempitan wang menerima rasuah sebanyak RM300 ribu daripada Tengku Munir bagi mempengaruhi jabatan tender agar meluluskan tender-tendernya. Hasnol bernasib malang, apabila Tengku Munir tidak berpuas hati dan melaporkan hal itu kepada Menteri Besar yang akhirnya Hasnol ditahan atas kes rasuah.

Kita hendaklah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan bersungguh-sungguh supaya dapat mencapai kejayaan.
Contohnya, Amera yang menjalankan tugasnya sebagai pendidik dengan penuh dedikasi sehingga dipilih sebagai Tokoh Pendidik Cemerlang Negeri.

(b) Apakah persoalan yang terkandung dalam novel ini?


Jawapan: Persoalan yang terkandung dalam novel ini ialah:

Golongan muda yang terlibat dalam kegiatan dakwah secara melulu.
Contohnya, Mukhlis yang menyertai kegiatan dakwah tanpa ilmu yang mencukupi sehingga terjebak dalam masalah kehidupan.

Sikap tamak yang menguasai diri sehingga terlibat dalam rasuah.
Contohnya, Hasnol yang kesempitan wang akhirnya menerima tawaran sebanyak RM300 ribu bagi membantu Tengku Munir mendapatkan tendernya.


Wednesday 10 August 2011

CONTOH KARANGAN


Kegiatan lumba motosikal haram sering dilakukan oleh golongan remaja. Kegiatan lumba motosikal haram telah mendatangkan impak negatif kepada diri, masyarakat, dan negara. Sebagai remaja yang prihatin, apakah peranan anda untuk membanteras kegiatan ini daripada terus leluasa?

Kegiatan lumba motosikal haram semakin menjadi-jadi pada masa kini sehingga boleh dikatakan sudah menjadi tokak dan nanah kepada negara. Baru-baru ini rancangan 999 di TV3 telah menyiarkan kegiatan lumba motosikal haram dan melalui rancangan tersebut didapati majoriti pelumba haram ialah golongan remaja. Golongan remaja merupakan aset penting negara yang akan memimpin kita pada zaman atom akan datang. Seandainya, kebanyakan remaja kita terlibat dengan kegiatan lumba haram nescaya negara kita tidak akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Pelbagai minhaj yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan saya sebagai remaja yang prihatin turut berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam membanteras masalah ini. Oleh itu, terdapat variasi peranan yang boleh saya mainkan dalam membanteras kegiatan lumba motosikal haram di negara ini.
Peranan perdana yang akan saya lakukan bagi membanteras kegiatan lumba motosikal haram di negara kita ialah saya akan mengajak dan membimbing rakan-rakan saya daripda terus terjebak dalam kegiatan lumba haram. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja mudah terikut-ikut dengan perbuatan rakan sebaya. Demi memastikan rakan-rakan saya tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram, saya akan mendedahkan keburukan kegiatan lumba haram kepada mereka. Jika rakan saya meminati perlumbaan bermotor, saya akan menasihati mereka supaya mereka meyertai perlumbaan di litar yang dibenarkan oleh pihak kerajaan. Dasawarsa ini, banyak litar perlumbaan motosikal telah dibina seperti cendawan tumbuh selepas hujan di negara kita. Oleh itu, saya akan menasihati mereka supaya mereka melakukan anjakan paradigma daripada terjebak dengan lumba haram kerana perlumbaan haram boleh mengorbankan nyawa. Andai kata, saya tidak membimbing dan menasihati mereka, sudah pasti mereka akan hanyut dalam kegiatan lumba haram. Tegasnya, saya akan mengajak dan membimbing rakan-rakan saya supaya meninggalkan kegiatan perlumbaan motosikal haram ini dan seterusnya kegiatan lumba motosikal haram ini dapat dibanteras.

Seterusnya, pada hemat saya, para remaja juga boleh membanteras kegiatan ini daripada leluasa dengan mencadangkan pelbagai aktiviti yang bermanfaat kepada pihak sekolah. Pihak sekolah melalui kaunselor boleh melancarkan pelbagai program atau kempen yang bertujuan untuk membendung serta membanteras gejala lumba motosikal haram yang sering dilakukan oleh golongan remaja. Program yang dianjurkan oleh pihak kaunselor ini diharapkan mampu memberikan kesedaran dan keinsafan kepada pelumba- pelumba cilik di sekolah saya. Antara program yang boleh dilaksanakan adalah seperti mengadakan ceramah- ceramah kesedaran kepada para pelajar khususnya pelajar bermasalah yang sering terlibat dalam kegiatan ini. Sekiranya pihak sekolah dan kaunselor sama- sama berkolaboratif dalam menjayakan kempen membanteras kegiatan lumba motosikal haram di sekolah saya akan menurun. Jelaslah bahawa pihak sekolah melalui pihak kaunselor mestilah berganding bahu untuk melancarkan kempen dan program bagi membendung kegiatan ini daripada menjadi tokak dalam nadi kehidupan masyarakat dan negara.

Di samping itu, saya juga akan mengkhabarkan berita mengenai kegiatan lumba motosikal haram yang melibatkan kenalan saya kepada ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang bertanggungjawab dalam mendidik dan memantau setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Ibu bapa haruslah sentiasa mengambil berat perihal anak- anak mereka meskipun ketika anak- anak mereka melakukan aktiviti luar rumah. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah sentiasa memantau gerak-geri kerja anak- anak mereka terutamanya pada musim cuti persekolahan. Jika ibu bapa tidak memantau gerak- geri kerja anak mereka, sudah pasti anak- anak mereka mengambil peluang keemasan ini untuk melakukan aktiviti yang tidak bermoral seperti lumba motosikal haram. Oleh itu, sebagai remaja yang prihatin, saya akan melaporkan kegiatan lumba motosikal haram yang dilakukan oleh rakan- rakan saya kepada ibu bapa mereka sebelum masalah ini semakin membarah kerana pepatah Melayu ada mengatakan sediakan payung sebelum hujan.

Seterusnya, saya juga akan melaporkan kegiatan lumba haram yang semakin meruncing pada hari ini kepada pihak berkuasa supaya masalah ini tidak terus bermaharajalela dan membelenggu masyarakat kita. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak berkuasa seperti pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) merupakan agensi utama dalam membanteras masalah ini. Pihak berkuasa haruslah mempunyai modus operandi yang signifikan dalam membasmi kegiatan ini iaitu dengan mengadakan sekatan jalan raya dan rondaan di kawasan yang disyaki menjadi tempat lumba haram. Sekiranya saya tidak memainkan peranan saya iaitu dengan melaporkan kegiatan lumba haram kepada pihak berkuasa dan sekadar melakukannya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, sudah tentu kegiatan ini akan berlarutan dan menghantui kehidupan masyarakat kita. Sudah terang lagi bersuluh bahawa tanggungjawab saya sebagai seorang remaja yang prihatin amat membantu pihak kerajaan dalam mensifarkan kegiatan lumba haram di negara kita.

Tambahan pula, sebagai seorang remaja yang prihatin, saya juga akan mencadangkan tempat khusus untuk remaja berlumba kepada pihak kerajaan. Melalui cara ini kegiatan lumba haram dapat dikurangkan sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak litar lumba di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan remaja untuk menarik minat mereka agar tidak terjebak dalam kegiatan lumba haram. Litar-litar yang disediakan perlu dititikberatkan dari aspek keselematan dan mempunyai sistem pengurusan yang sistematik di samping mengenakan kos yang lebih rendah agar remaja lebih berminat untuk mengunjunginya. Sekiranya pihak kerajaan tidak melaksanakan cadangan ini maka kegiatan lumba haram akan terus berleluasa dan menjadi bertambah serius. Sudah terang lagi bersuluh, saya juga akan mencadangkan tempat-tempat khusus untuk remaja berlumba kepada pihak kerajaan bagi membanteras kegiatan lumba haram bagi terus leluasa.

Konklusinya, kegiatan lumba motosikal haram yang dilakukan oleh golongan remaja sememangnya mendatangkan impak negatif kepada diri, masyarakat dan negara malah turut menjadi virus epidemik yang akan menjatuhkan imej negara di mata dunia luar. Oleh sebab itu, begitu peri vitalnya remaja menyedari peranan mereka dalam membanteras kegiatan haram ini. Sebelum nasi menjadi bubur, kita sebagai remaja haruslah menggembleng tenaga untuk mengatasi kegiatan lumba motosikal haram ini daripada terus leluasa. Dengan mengetahui tanggungjawab kita sebagai seorang remaja, seyogia negara dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sekali gus meminimumkan statistik kematian di negara Malaysia.