Friday, 12 August 2011

SOALAN PEMAHAMAN RENYAH

PEMAHAMAN NOVEL RENYAH
(a) Apakah pengajarab yang terdapat dalam nove Renyah?

Jawapan:  Pengajaran yang terkandung dalam novel ini ialah:

Jangan mengamalkan rasuah untuk hidup senang.
Contohnya, Hasnol yang kesempitan wang menerima rasuah sebanyak RM300 ribu daripada Tengku Munir bagi mempengaruhi jabatan tender agar meluluskan tender-tendernya. Hasnol bernasib malang, apabila Tengku Munir tidak berpuas hati dan melaporkan hal itu kepada Menteri Besar yang akhirnya Hasnol ditahan atas kes rasuah.

Kita hendaklah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan bersungguh-sungguh supaya dapat mencapai kejayaan.
Contohnya, Amera yang menjalankan tugasnya sebagai pendidik dengan penuh dedikasi sehingga dipilih sebagai Tokoh Pendidik Cemerlang Negeri.

(b) Apakah persoalan yang terkandung dalam novel ini?


Jawapan: Persoalan yang terkandung dalam novel ini ialah:

Golongan muda yang terlibat dalam kegiatan dakwah secara melulu.
Contohnya, Mukhlis yang menyertai kegiatan dakwah tanpa ilmu yang mencukupi sehingga terjebak dalam masalah kehidupan.

Sikap tamak yang menguasai diri sehingga terlibat dalam rasuah.
Contohnya, Hasnol yang kesempitan wang akhirnya menerima tawaran sebanyak RM300 ribu bagi membantu Tengku Munir mendapatkan tendernya.


Wednesday, 10 August 2011

CONTOH KARANGAN


Kegiatan lumba motosikal haram sering dilakukan oleh golongan remaja. Kegiatan lumba motosikal haram telah mendatangkan impak negatif kepada diri, masyarakat, dan negara. Sebagai remaja yang prihatin, apakah peranan anda untuk membanteras kegiatan ini daripada terus leluasa?

Kegiatan lumba motosikal haram semakin menjadi-jadi pada masa kini sehingga boleh dikatakan sudah menjadi tokak dan nanah kepada negara. Baru-baru ini rancangan 999 di TV3 telah menyiarkan kegiatan lumba motosikal haram dan melalui rancangan tersebut didapati majoriti pelumba haram ialah golongan remaja. Golongan remaja merupakan aset penting negara yang akan memimpin kita pada zaman atom akan datang. Seandainya, kebanyakan remaja kita terlibat dengan kegiatan lumba haram nescaya negara kita tidak akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Pelbagai minhaj yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan saya sebagai remaja yang prihatin turut berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam membanteras masalah ini. Oleh itu, terdapat variasi peranan yang boleh saya mainkan dalam membanteras kegiatan lumba motosikal haram di negara ini.
Peranan perdana yang akan saya lakukan bagi membanteras kegiatan lumba motosikal haram di negara kita ialah saya akan mengajak dan membimbing rakan-rakan saya daripda terus terjebak dalam kegiatan lumba haram. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja mudah terikut-ikut dengan perbuatan rakan sebaya. Demi memastikan rakan-rakan saya tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram, saya akan mendedahkan keburukan kegiatan lumba haram kepada mereka. Jika rakan saya meminati perlumbaan bermotor, saya akan menasihati mereka supaya mereka meyertai perlumbaan di litar yang dibenarkan oleh pihak kerajaan. Dasawarsa ini, banyak litar perlumbaan motosikal telah dibina seperti cendawan tumbuh selepas hujan di negara kita. Oleh itu, saya akan menasihati mereka supaya mereka melakukan anjakan paradigma daripada terjebak dengan lumba haram kerana perlumbaan haram boleh mengorbankan nyawa. Andai kata, saya tidak membimbing dan menasihati mereka, sudah pasti mereka akan hanyut dalam kegiatan lumba haram. Tegasnya, saya akan mengajak dan membimbing rakan-rakan saya supaya meninggalkan kegiatan perlumbaan motosikal haram ini dan seterusnya kegiatan lumba motosikal haram ini dapat dibanteras.

Seterusnya, pada hemat saya, para remaja juga boleh membanteras kegiatan ini daripada leluasa dengan mencadangkan pelbagai aktiviti yang bermanfaat kepada pihak sekolah. Pihak sekolah melalui kaunselor boleh melancarkan pelbagai program atau kempen yang bertujuan untuk membendung serta membanteras gejala lumba motosikal haram yang sering dilakukan oleh golongan remaja. Program yang dianjurkan oleh pihak kaunselor ini diharapkan mampu memberikan kesedaran dan keinsafan kepada pelumba- pelumba cilik di sekolah saya. Antara program yang boleh dilaksanakan adalah seperti mengadakan ceramah- ceramah kesedaran kepada para pelajar khususnya pelajar bermasalah yang sering terlibat dalam kegiatan ini. Sekiranya pihak sekolah dan kaunselor sama- sama berkolaboratif dalam menjayakan kempen membanteras kegiatan lumba motosikal haram di sekolah saya akan menurun. Jelaslah bahawa pihak sekolah melalui pihak kaunselor mestilah berganding bahu untuk melancarkan kempen dan program bagi membendung kegiatan ini daripada menjadi tokak dalam nadi kehidupan masyarakat dan negara.

Di samping itu, saya juga akan mengkhabarkan berita mengenai kegiatan lumba motosikal haram yang melibatkan kenalan saya kepada ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang bertanggungjawab dalam mendidik dan memantau setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Ibu bapa haruslah sentiasa mengambil berat perihal anak- anak mereka meskipun ketika anak- anak mereka melakukan aktiviti luar rumah. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah sentiasa memantau gerak-geri kerja anak- anak mereka terutamanya pada musim cuti persekolahan. Jika ibu bapa tidak memantau gerak- geri kerja anak mereka, sudah pasti anak- anak mereka mengambil peluang keemasan ini untuk melakukan aktiviti yang tidak bermoral seperti lumba motosikal haram. Oleh itu, sebagai remaja yang prihatin, saya akan melaporkan kegiatan lumba motosikal haram yang dilakukan oleh rakan- rakan saya kepada ibu bapa mereka sebelum masalah ini semakin membarah kerana pepatah Melayu ada mengatakan sediakan payung sebelum hujan.

Seterusnya, saya juga akan melaporkan kegiatan lumba haram yang semakin meruncing pada hari ini kepada pihak berkuasa supaya masalah ini tidak terus bermaharajalela dan membelenggu masyarakat kita. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak berkuasa seperti pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) merupakan agensi utama dalam membanteras masalah ini. Pihak berkuasa haruslah mempunyai modus operandi yang signifikan dalam membasmi kegiatan ini iaitu dengan mengadakan sekatan jalan raya dan rondaan di kawasan yang disyaki menjadi tempat lumba haram. Sekiranya saya tidak memainkan peranan saya iaitu dengan melaporkan kegiatan lumba haram kepada pihak berkuasa dan sekadar melakukannya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, sudah tentu kegiatan ini akan berlarutan dan menghantui kehidupan masyarakat kita. Sudah terang lagi bersuluh bahawa tanggungjawab saya sebagai seorang remaja yang prihatin amat membantu pihak kerajaan dalam mensifarkan kegiatan lumba haram di negara kita.

Tambahan pula, sebagai seorang remaja yang prihatin, saya juga akan mencadangkan tempat khusus untuk remaja berlumba kepada pihak kerajaan. Melalui cara ini kegiatan lumba haram dapat dikurangkan sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak litar lumba di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan remaja untuk menarik minat mereka agar tidak terjebak dalam kegiatan lumba haram. Litar-litar yang disediakan perlu dititikberatkan dari aspek keselematan dan mempunyai sistem pengurusan yang sistematik di samping mengenakan kos yang lebih rendah agar remaja lebih berminat untuk mengunjunginya. Sekiranya pihak kerajaan tidak melaksanakan cadangan ini maka kegiatan lumba haram akan terus berleluasa dan menjadi bertambah serius. Sudah terang lagi bersuluh, saya juga akan mencadangkan tempat-tempat khusus untuk remaja berlumba kepada pihak kerajaan bagi membanteras kegiatan lumba haram bagi terus leluasa.

Konklusinya, kegiatan lumba motosikal haram yang dilakukan oleh golongan remaja sememangnya mendatangkan impak negatif kepada diri, masyarakat dan negara malah turut menjadi virus epidemik yang akan menjatuhkan imej negara di mata dunia luar. Oleh sebab itu, begitu peri vitalnya remaja menyedari peranan mereka dalam membanteras kegiatan haram ini. Sebelum nasi menjadi bubur, kita sebagai remaja haruslah menggembleng tenaga untuk mengatasi kegiatan lumba motosikal haram ini daripada terus leluasa. Dengan mengetahui tanggungjawab kita sebagai seorang remaja, seyogia negara dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sekali gus meminimumkan statistik kematian di negara Malaysia.

Friday, 5 August 2011

FENOMENA MASALAH JALANAN DAN IMPAKNYA KEPADA NEGARA BANGSA.

Karangan di bawah telahpun kita bincang di dalam kelas dan para pelajar telahpun menulis karangan.  Di sini cikgu berikan contoh karangan yang lebih baik daripada karangan para pelajar. Cikgu harap para pelajar dapat menyalinnya sebagai contoh dan pengukuhan.

FENOMENA MASALAH JALANAN DAN IMPAKNYA KEPADA NEGARA BANGSA.

Masalah samseng jalanan di negara kita semakin meruncing dan menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat. Masalah ini tidak pernah lari daripada kamus kehidupan masyarakat dan sering menjadi hamparan majalah dan dada-dada akhbar. Pendedahan demi pendedahan telah didedahkan oleh pihak media berhubung  samseng jalanan yang dilakukan oleh golongan remaja, namun semua ini akhirnya berlalu begitu sahaja bagaikan angin lalu. Fenomena ini telah lama bersarang dalam kehidupan remaja dan telah memberikan satu persepsi negative kepada negara tentang kealpaan masyarakat untuk  mendidik, mengasuh, dan membimbing generasi muda yang semakin hilang hala tujunya, bagaikan layang-layang yang putus tali.  Hal ini demikian perlu segera ditangani agar tidak terus bermaharajalela dan  meranapkan impian Malaysia menggapai hasrat dan visi kudsi Wawasan 2020.

Jenayah-jenayah yang ditimbulkan oleh masalah samseng jalanan ialah merosakkan harta benda milikan awam dan mengancam keselamatan masyarakat setempat. Samseng jalanan biasanya mereka akan mewujudkan satu kumpulan dalam melakukan aktiviti negatif mereka. Mereka suka menimbulkan kekacauan di sesuatu kawasan dengan merosakkan harta benda dan kemudahan awam yang disediakan bagi memudahkan masyarakat setempat. Kekacauan yang ditimbulkan akan menyusahkan kehidupan masyarakat menyebabkan mereka tidak dapat menikmati kemudahan yang disediakan dan perbuatan samseng jalanan juga mengancam keselamatan masyarakat setempat. Kemudahan awam yang dirosakkan memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk membaiki pulihnya. Perbuatan samseng jalanan hanya setakat mencari keseronokan dan menunjukkan kehebatan mereka sahaja tetapi mereka tidak terfikir tentang nasib buruk yang dihadapi oleh masyarakat setempat.

Selain itu, kegiatan jenayah yang ditimbulkan oleh samseng jalanan juga dapat diperlihatkan melalui kegiatan mengutip wang perlindungan daripada peniaga-peniaga dan orang ramai. Sekiranya mereka yang diminta membayar wang perlindungan tidak membayar tepat pada masanya, maka mereka akan dikacau, diberi amaran malah juga dipukul oleh kumpulan samseng jalanan tersebut. Perbuatan samseng jalanan akan mengganggu perniagaan dan kehidupan seseorang sekiranya mereka tidak mampu membayar wang perlindungan tersebut. Sekiranya peniaga-peniaga tidak mampu membayar maka samseng jalanan tersebut akan mengugat keselamatan mereka dengan mengecat perkataan menggunakan cat merah di dinding kedai mereka. Hal ini akan menjejaskan perniagaan mereka serta meletakkan nyawa mereka di pintu neraka disebabkan takut dengan ancaman daripada samseng jalanan tersebut.

Di samping itu, perebutan kawasan jajahan juga wujud dalam kegiatan jenayah yang dilakukan oleh samseng jalanan. Kumpulan samseng jalanan suka memiliki dan merebut kawasan jajahan dengan kumpulan samseng jalanan lain bagi menunjukkan kehebatan mereka agar mereka ditakuti dan disanjungi oleh kumpulan lain. Biasanya, perebutan kawasan jajahan akan mencetuskan keadaan pergaduhan, pembunuhan dan sebagainya. Kegiatan tersebut dikatakan mengancam keselamatan masyarakat setempat dan meletakkan nyawa mereka dalam bahaya. Perebutan kawasan oleh samseng jalanan juga akan memusnahkan harta benda disebabkan mereka ingin menakluki kawasan baru dan berlaku pergaduhan antara satu sama lain. Hal ini akan menyebabkan sesebuah kawasan tidak aman didiami dan dianggap sebagai kawasan zon merah kerana tidak selamat dalam anggapan orang ramai disebabkan oleh perbuatan samseng jalanan yang mengancam keselamatan masyarakat.

Oleh itu, siapakah yang harus dipersalah dalam hal ini? Persoalan mengapakah dan bagaimanakah tentulah tidak mudah untuk dijawab. Jadi, masyarakat haruslah berganding bahu dan memainkan peranan yang penting untuk membendung kejadian jenayah. Sekarang, bukanlah masa untuk kita menuding jari pada sesiapa. Oleh hal yang demikian, institusi keluarga haruslah memainkan peranan yang penting bagi menangani senario ini. Ibu bapa haruslah menjadi pendengar setia dan selalu bermusyawarah bersama-sama anak untuk mendengar masalah dan menyedarkan setiap perbuatan yang dilakukan oleh mereka. Ibu bapa mestilah melengkapkan remaja hari ini dengan didikan agama yang secukupnya dan sempurna sejak dari kecil lagi. Hal ini boleh diumpamakan seperti ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Di samping itu, kempen-kempen kesedaran dan program berfaedah juga haruslah dijalankan oleh kerajaan bagi mengelakkan peningkatan kes jenayah yang semakin meruncing. Usaha-usaha ini akan membina motivasi dan membentuk sahsiah yang mementingkan cara hidup yang lebih bererti. Hal ini dapat dibuktikan dengan pelaksanaan Program Rakan Muda melibatkan golongan remaja dalam aktiviti yang sihat. Mudah-mudahan melalui program ini, sedikit sebanyak kita dapat mencorak keperibadian seseorang remaja memandangkan tingkah laku generasi hari ini amat mengecewakan. Oleh itu kempen seumpama ini haruslah giat dijalankan kerana remaja merupakan satu-satunya tonggak dan harapan negara dalam menerajui kepimpinan negara sesuai dengan ungkapan ‘ pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’.

Media massa juga dapat memainkan peranan dalam usaha membanteras masalah jenayah yang semakin meruncing di negara kita. Media massa sepatutnya menapis segala rancangan televisyen dan bahan cetak sebelum disiarkan. Misalnya Lembaga Penapisan Filem (LPF) perlulah memainkan peranan penting dengan menapis adegan-adegan ganas yang boleh mempengaruhi minda remaja. Sebaliknya, media massa haruslah menayangkan filem-filem yang mempunyai nilai-nilai ketimuran dan berunsur pendidikan yang boleh mendidik para remaja. Selain itu, program bercorak keagamaan juga harus dititikberatkan. Oleh hal yang demikian, undang-undang harus dikuatkuasakan bagi mengawal ‘kebanjiran maklumat’ yang bersifat negatif ini kerana boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara kita.

Sebagai konklusinya, remaja sebagai aset penting negara mestilah berjuang untuk membebaskan diri daripada terus dibayangi oleh ‘jenayah’. Natijah daripada senario ini ialah kita messti mengamalkan sikap aur dengan tebing yakni mengamalkan bekerjasama yang erat, dan persefahaman  dalam menentukan kecerahan dan kegelapan masa depan negara. Ingatlah remaja yang bakal memimpin negara ini merupakan tonggak dan harapan negara bagi mencorakkan haluan negara demi menzahirkan Wawasan 2020.

Ulangkaji Latihan Tatabahasa

Ulangkaji Tatabahasa  PraSPM
Para pelajar diminta menjawab soalan ini di dalam buku latihan. Hantar kepada cikgu pada minggu depan
Soalan 1:Pisahkan ayat-ayat majmuk di bawah ini kepada ayat-ayat tunggal:

1. Mereka bertepuk tangan sambil bersorak.
2. Pengajaran guru itu mudah difahami, tambahan pula penyampaiannya sangat menarik.
3. Saya tidak pernah menceritakan keburukannya, justeru saya sering memujinya.
4. Ibu ke pasar dahulu, kemudian ke kedai runcit.
5. Ayah dan ibu akan menghadiri majlis itu.
6. Yogeswaran otak cair tetapi malas berusaha.
7. Kehadiran murid sangat baik pada hari biasa, tetapi kehadiran murid pada hari Sabtu sangat tidak memuaskan.
8. Saya akan ke Kuala Lumpur, manakala abang akan ke Seremban.
9. Harga pakaian itu terlalu mahal, pada hal kualitinya rendah.
10. Kita mesti bertolak sekarang kerana hari semakin gelap, sementelahan tempat perkehemahan itu masih jauh. 
Nyatakan jenis kata bagi perkataan yang bercetak tebal dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas.

(i) Mereka berbicara tentang bioteknologi.
(ii) Kami telah menyaksikan perlawanan yang hebat pada malam itu.
(iii) Guru menghadiahi kami sebuah buku cerita.
(iv) Kami sekeluarga berada dalam keadaan sihat.
(v) Hadiah ini disediakan untuk ibuku yang tersayang.
(vi) Dia bimbang akan keadaan ibunya yang masih belum sedar. 
Nyatakan jenis frasa yang bercetak tebal dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada Frasa Nama, Frasa Kerja, atau Frasa Sendi Nama.

(i) Mereka berkelah di tepi sungai.
(ii) Pemuda itu kehujanan ketika pulang dari pejabat.
(iii) Saya ke Hotel Nikko pada petang esok.
(iv) Ibu saya akan pergi ke Mekah pada tahun ini.
(v) Jika mereka ada, saya pun ada.
(vi) Beliau amat gembira apabila memenangi Anugerah Tinta Kencana 2004
Nyatakan jenis klausa yang bercetak tebal dalam ayat-ayat di bawah ini sama ada klausa komplemen, klausa relatif atau klausa keterangan.

(i) Langkah-langkah untuk mengatasi masalah itu perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.
(ii) Jika mencapai kejayaan yang cemerlang, anda akan ditawarkan biasiswa oleh pelbagai pihak.
(iii) Perdana Menteri menyatakan bahawa kita perlu memberikan penekanan dalam sektor pertanian.
(iv) Penyanyi yang selalu menunjukkan budi pekerti yang baik akan dihormati oleh masyarakat.
(v) Dia mencapai keputusan yang cemerlang kerana telah berusaha dengan bersungguh-sungguh.
(vi) Ibu bapa kita akan gembira dan senang hati andai kata kita sentiasa mematuhi ajaran agama.


Nyatakan jenis-jenis ayat di bawah ini sama ada ayat penyata, ayat tanya, ayat seruan, atau ayat perintah.

(i) Siapakah pemuda yang sedang berdiri di tepi jalan itu?
(ii) Dia bertanya kepada saya tentang perkara itu.
(iii) Oh, cantik sungguh bunga-bunga di taman itu!
(iv) Jangan merokok di dalam kawasan sekolah.
(v) Dia menulis cerpen itu?
(vi) Pengetua menanyai pelajar itu tentang ketidakhadirannya semalam.

[6 Markah]

Penggunaan kata hampir sama bunyi dalam ayat.

Para pelajar diminta menggunakan bahan ini sebagai latihan dalam buku tatabahasa. Cikgu akan semak nanti.
Cuba bina ayat anda sendiri berpandukan contoh di bawah.

Contoh ayat bagi perkataan hampir sama bunyi.


1. gumpal - Kami menemui tiga gumpal wang kertas lama di dalam gua itu.
......gempal - Badannya kelihatan agak gempal dan kulitnya keputih-putihan.

2. mencolek - Adik mencolek sedikit kek itu dengan jarinya.
......menculik - Penjahat itu menculik anak Encik Tong untuk mendapatkan tebusan.

3. memerah - Hamreesh sedang memerah susu kambing di belakang rumahnya.
......memeras - "Jangan cuba untuk memeras pelajar yang lemah", kata Encik Chew.

4. melencong - Pagi itu dia tidak ke sekolah tetapi melencong ke tempat lain.
......melancong - Pada cuti penggal pertama dia melancong ke Bangkok.

5. bertelur - Penyu itu sedang bertelur di tepi pantai.
......bertelor - Pemuda itu bertutur dengan bertelor Kelantan.

6. berkenan - Ibu amat berkenan dengan baju yang bercorak batik itu.
......berkenaan - Ceramah itu adalah berkenaan dengan penyalahgunaan dadah.

7. menempa - Ahli sukan itu telah menempa nama dalam bidang karate.
......menempah - Puan Chong menempah makanan daripada pekerja di kantin itu.

8. menyurut - Air banjir di kampung itu semakin menyurut sejak semalam.
menyorot sajak-sajak di buku lama itu.

9. melagakan - Dialah yang telah melagakan Ah Chong dengan Ayapan sehingga bergaduh.
......melegakan - Air kelapa itu dapat melegakan tekak yang kering.

10. melayukan - Cuaca panas itu melayukan sayur-sayuran yang ditanamnya.
......melayurkan - Ibu melayurkan ulam-ulaman itu ke dalam air yang sedang mendidih.

11. mengibas - Chong Jun Nam mengibas habuk di badannya dengan menggunakan tuala.
......mengimbas - Hilmi mengimbas kembali kenangan manisnya ketika bersama Hayati.

12. pedalaman - Kawasan pedalaman di Sabah akan dilengkapi dengan jalan raya.
......pendalaman - Kerja pendalaman sungai itu menelan belanja yang amat tinggi.

13. merimaskan - Cuaca yang panas ini amat merimaskan para pelajar.
......meramaskan - beliau meramaskan limau itu kedalam air lalu digunakan sebagai air mandian.

14. benteng - Pasukan Chalsi membina benteng untuk menyekat kemaraan penyerang pasukan Mancister.
......beting - Beting di tepi pantai itu terhakis apabila dilanda ombak besar.

15. menuntun - Ibu menuntun tangan adik ketika melintas jalan.
......menonton - Setiap malam, dia akan menonton rancangan berita di televisyen.

16. pujuk - Budak yang sedang menangis itu telah kami pujuk.
......pojok - Di pojok bilik itu terdapat sebuah kerusi dan sebuah meja lama.

17. beradat - Hidup kita mestilah beradat agar dihormati oleh orang lain.
......beradab - Hong Wei seorang pelajar yang tidak beradab dan sombong.

18. hempas - Gelas itu saya hempas ke lantai sehingga pecah.
......hampas - Semua hampas kelapa itu boleh dijadikan makanan ternakan.

19. lengan - Lengan Foo Siow Wooi luka kerana terkena kaca.
......lengang - Pada Hari raya, jalan raya di bandar raya itu amat lengang.

20. tabik - Tentera itu memberi tabik ketika diperiksa oleh ketuanya.
......tabib - Dia bertemu tabib untuk mengubati penyakitnya.

21. resmi - Sudah menjadi resmi manusia, suka berbelanja apabila banyak duit.
......rasmi - Majlis hari ini ialah majlis yang rasmi dan kita mesti berpakaian kemas.

22. padan - Baju yang dipakainya itu amat padan dengan bentuk tubuhnya.
......pandan - Mereka menggunakan pandan supaya makanan itu bertambah harum.



Latihan tatabahasa- Cakap Ajuk dan Cakap Pindah


TATABAHASA
( Cakap Ajuk dan Cakap Pindah )


Latihan SPM 1

Tulis semula perbualan di bawah ke dalam bentuk karangan biasa dengan menggunakan cakap pindah.

“              Bagaimana dengan rancangan awak ? “ tanya Salleh.
“              Rancangan apa? “ jawab Ani.
“              Rancangan mendaki gunung yang awak kata pada saya tempoh hari, “
                 kata Salleh.
“              Oh, itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Sabtu depan. “ jelas Ani.
“              Bagus Ani, bagus. Saya sokong rancangan itu ! “
                Ani tersenyum puas apabila mendengar kata-kata sahabat karibnya itu.

[ 6 markah ]


Latihan SPM2

Tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah.

Norhayati        :                              Syikin, mengapa Syikin tidak datang ke sekolah semalam?
Norasyikin      :                            Syikin minta maaflah. Semalam Syikin ada hal di rumah.
Norhayati        :                            Apa halnya? Ceritakanlah kepada Yati. Andainya     
        susah, sama-samalah kita tanggung. Bukankah kita
       sudah lama berkawan?
Norsyikin      :                             Sebenarnya ibu Syikin sakit.

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                [ 6 markah ]


SKEMA JAWAPAN

JAWAPAN LATIHAN SPM1

1.          Salleh bertanya kepada Ani tentang rancangannya itu.
2.          Ani meminta kepastian tentang rancangan  yang dimaksudkan oleh Salleh.
3.          Seterusnya Salleh menjelaskan bahawa yang dimaksudkannya itu berhubung dengan rancangan Ani mendaki gunung yang diperkatakannya suatu hari dahulu.
4.          Ani menjelaskan bahawa rancangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pada hari Sabtu akan datang.
5.          Salleh memuji dan sangat bersetuju dengan rancangan Ani itu/ dan menyokongnya.
6.          Ani tersenyum puas/ bangga atas sokongan kawan karibnya itu.


 JAWAPAN LATIHAN SPM 2

1)         Norhayati bertanya kepada Syikin mengapa dia tidak hadir ke sekolah semalam.

2)         Norasyikin meminta maaf kepada Norhayati kerana tidak memberitahunya dan menjelaskan bahawa dia menghadapi masalah di rumah.

3)         Norhayati bertanya kepada Norasyikin masalah yang dihadapi dan meminta dia menceritakan perkara yang berlaku kepadanya. Norhayati berjanji akan bersama-sama menanggung kesusahan kerana menggangap mereka sudah lama berkawan.

4)         Norasyikin menjelaskan kepada Norhayati bahawa ibunya sakit.

Latihan Tatabahasa Ayat Pasif & Ayat Aktif

Di sini berikan soalan untuk latihan. Para pelajar 5H, 4C dan 4F sila salin dan buat latihan dalam buku. Latihan akan cikgu pungut pada minggu depan.
LATIHAN SPM  1

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1.             Tugas itu patut anda selesaikan sekarang juga.
2.             Jawatan yang dipegang oleh mereka sangat penting.
3.             Sedikit garam dimasukkan oleh kakak ke dalam gulai yang sangat saya
               gemari.
4.             Pokok-pokok itu dipangkas oleh para pekerja supaya sentiasa rendah.
5.             Nota pelajaran dikemaskinikan oleh mahasiswa itu supaya mudah
              membuat  ulang kaji.
 6.          Orang yang lurus bendul itu tidak harus kamu peralat sewenang-
              wenangnya.

LATIHAN SPM  2

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1.             Pelajar itu ditahan oleh guru disiplin selepas perhimpunan kerana melanggar peraturan sekolah.
2.             Anak-anak sewajarnya dikawal oleh ibu bapa supaya mereka tidak bergaul dengan budak-budak nakal.
3.             Pelajar itu dihadiahi oleh guru bahasa Melayu sebatang pen setelah
               berjaya  memperoleh ‘A’ dalam peperiksaan percubaan SPM.
4.             Satu misi dilaksanakan oleh mereka bersama-sama.
5.             Alat pendingin hawa itu dijualnya dengan harga yang tinggi.
6.             Komputer itu saya beli untuk adik di kolej.


LATIHAN SPM  3

Tukarkan ayat-ayat pasif berikut kepada ayat aktif.

1.             Permukaan air itu dilitupi pokok teratai yang berwarna-warni.
2.             Majalah bercorak akademik kurang diminati oleh golongan remaja meskipun bahan di dalamnya memberikan ilmu kepada mereka.
3.             Pondok buruk yang didiami oleh orang tua itu beratapkan rumbia dan berdinding buluh.
4.             Adik perempuan saya dijahitkan baju kurung oleh kakak pada hujung minggu yang lalu.
5.             Rumah itu tidak berani kami hampiri kerana takut akan anjing peliharaan tuan rumah tersebut.
6.             Kerja-kerja memperdalam Sungai Kinta itu akan ditangguhkan oleh mereka berminggu-minggu.












JAWAPAN LATIHAN SPM1

·         Anda patut menyelesaikan tugas itu sekarang juga.
·         Mereka memegang jawatan yang sangat penting.
·         Kakak memasukkan sedikit garam ke dalam gulai yang sangat saya gemari.
·         Para pekerja memangkas pokok-pokok itu supaya sentiasa rendah.
·         Mahasiswa itu mengemaskinikan nota pelajaran supaya mudah membuat ulang kaji.
·         Kamu tidak harus memperalat orang yang lurus bendul itu sewenang-wenangnya.



JAWAPAN LATIHAN SPM 2

·         Guru disiplin menahan pelajar itu selepas perhimpunan kerana melanggar peraturan sekolah.
·         Ibu bapa sewajarnya mengawal anak-anak supaya mereka tidak bergaul dengan budak-budak nakal.
·         Guru bahasa Melayu menghadiahi pelajar itu sebatang pen setelah berjaya memperoleh ’A’ dalam peperiksaan percubaan SPM.
·         Mereka melaksanakan satu misi bersama-sama.
·         Dia menjual alat pendingin hawa itu dengan harga yang tinggi.
·         Saya membeli komputer itu untuk adik di kolej.


JAWAPAN LATIHAN SPM3

·         Pokok teratai yang berwarna-warni melitupi permukaan air itu.
·         Golongan remaja kurang meminati majalah bercorak akademik meskipun bahan di dalamnya memberikan ilmu kepada mereka..
·         Orang tua itu mendiami pondok buruk yang beratapkan rumbia dan berdinding buluh.
·         Kakak menjahitkan adik perempuan saya baju kurung pada hujung minggu yang lalu.
·         Kami tidak berani menghampiri rumah itu kerana takut akan anjing peliharaan tuan rumah tersebut.
·         Mereka akan menangguhkan kerja-kerja memperdalam Sungai Kinta berminggu-minggu.