Tuesday, 6 September 2011

TEMA PERPADUAN


TAJUK: MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa"Jiran sepakat membawa berkat".Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Persoalannya apakah faedah di sebalik cogan kata “jiran sepakat membawa berkat “?.

Faedah yang dogmatik untuk merealisasikan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat adalah akan dapat memupuk hubungan baik antara jiran. Hal ini demikian kerana, memupuk hubungan baik antara jiran amat penting bagi mewujudkan sebuah kehidupan yang harmoni dan aman antara jiran. Hubungan baik antara jiran dapat dipupuk melalui aktiviti gotong-royong, ziarah-menziarahi serta sukan komuniti. Amalan gotong-royong akan dapat akan dapat menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Hal ini bertepatan dengan peribahasa seperti aur dengan tebing. Selain itu, hubungan baik melalui amalan gotong-royong ini, setiap komuniti akan saling bertanya khabar dan dapat dilakukan dengan cara membersih taman-taman di kawasan kediaman. Sebagai contoh, amalan gotong-royong ini boleh dilakukan di kawasan pembiakan nyamuk aedes dan dapat menghalang masyarakat kejiranan daripada dijangkiti demam denggi. Sekiranya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat tidak dapat direalisasikan, sudah pasti hubungan baik antara jiran tidak dapat dipupuk. Jelaslah bahawa semangat kejiranan dapat diwujudkan melalui hubungan baik antara jiran.

Selain itu, semangat kejiranan juga dapat memupuk nilai kerjasama dalam kalangan masyarakat di negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, nilai kerjasama dapat menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Nilai kerjasama juga dapat membentuk jati diri yang baik dalam diri setiap masyarakat. Melalui amalan gotong-royong dapat meningkatkan lagi nilai kerjasama dalam kalangan masyarakat lantas semangat kejiranan ini akan dapat diperkukuhkan. Di samping itu,nilai kerjasama akan wujud apabila setiap individu membantu jiran mereka semasa mengadakan rumah terbuka terutama pada musim perayaan, sebagai contoh semasa perayaan Aidilfitri, masyarakat Islam, masyarakat India, masyarakat Cina bekerjasama dalam menyempurnakan rumah terbuka tersebut. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sekiranya,nilai kerjasama tidak diamalkan dalam kalangan masyarakat majmuk sudah pasti semangat kejiranan di negara ini sukar diterapkan. Sudah terang lagi bersuluh nilai kerjasama merupakan salah satu kelebihan bagi memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Seterusnya, jiran yang baik akan membantu jirannya yang menghadapi kesusahan.Hal ini dikatakan demikian kerana sakit pening, susah senang, jiran adalah orang paling utama untuk kita mengadu. Apatah lagi dalam hal kecemasan, jiran orang pertama yang diharapkan untuk menghulur bantuan atau yang diharapkan bagi mendapatkan pertolongan. Jiran yang baik akan prihatin dan sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya jiran mereka memerlukan pertolongan tidak kira dalam keadaan susah atau senang. Jadi, melalui amalan ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Seandainya , sikap saling membantu jiran yang menghadapi kesusahan tidak diamalkan dalam diri masyarakat, sudah pasti masyarakat hidup dalam kucar-kacir dan berpecah belah. Sesungguhnya, sikap saling membantu jiran yang menghadapi kesusahan merupakan salah satu faedah di sebalik cogan kata jiran sepakat membawa berkat.

Bukan itu sahaja, melalui masyarakat yang mempunyai semangat kejiranan juga akan menjamin keselamatan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana, jiran yang baik akan bersama-sama menjaga kawasan kediaman mereka daripada berlaku kejadian yang tidak diingini, seperti kejadian pecah rumah. Masyarakat sebegini boleh membuat rondaan pada waktu malam bagi memastikan kawasan kediaman mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat. Selain itu, mereka juga akan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab apabila kawasan kediaman mereka dimasuki orang yang mencurigakan. Sekiranya masyarakat di negara ini tidak mengamalkan cogan kata “jiran sepakat membawa berkat” dengan sebaiknya bersama jiran tertangga mereka sudah pasti keselamatan masyarakat tidak mendapat jaminan yang sepenuhnya. Tegasnya masyarakat yang mempunyai semangat kejiranan ini dapat menjamin keselamatan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, mengenali adat kebudayaan kaum lain juga merupakan faedah hidup berjiran. Hal ini demikian kerana masyarakat di Malaysia ialah masyarakat yang berbilang kaum. Adat budaya yang berbeza antara kaum akan lebih merapatkan hubungan kejiranan dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, pada musim perayaan Aidilfitri kaum Melayu di negara ini memakai baju kurung dan baju melayu manakala pada musim perayaan Tahun Baru Cina, kaum Cina memakai pakaian tradisional mereka seterusnyan pada musim perayaan Deepavali, kaum india memkai sari. Majlis rumah terbuka juga sering diadakan pada perayaan-perayaan tersebut dan pelbagai jenis makanan tradisi dapat dinikmati. Selain itu, adat resam sesuatu kaum dapat diketahui oleh jiran yang berlainan kaum. Hal ini boleh menggambarkan hidup berjiran juga membolehkan kita mengenali adat budaya antara kaum. Sekiranya semangat kejiranan tidak diamalkan, maka adat dan budaya antara kaum akan lapuk dek hujan, lekang dek panas. Tegasnya semangat kejiranan memberikan faedah kerana masyarakat dapat mengenali adat dan budaya kaum lain.

Kesimpulannya, terdapat banyak faedah yang diperoleh di sebalik cogan kata “ jiran sepakat membawa berkat “. Semua pihak hendaklah memainkan peranan dalam mengamalkan semangat kejiranan kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

CONTOH KARANGAN TERBAIK

Tema : Keharmonian masyarakat berbilang kaum

Tugasan : Cara untuk mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum

Marcapada ini, masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita hidup dalam aman dan harmoni. Hubungan antara masyarakat berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India ini terjalin erat dan membentuk masyarakat yang bersatu padu. Idea penubuhan Datuk Seri Mohd Najib B. Tun Abd. Razak tentang slogan “1 Malaysia” telah membawa negara kita ke arah satu anjakan paradigma dan mengubah cara hidup masyarakat majmuk yang tinggal di negara Malaysia. Namun begitu, apakah prakarsa-prakarsa yang harus dilaksanakan oleh semua pihak untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan di negara kita?

Prakasa perdana bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah sikap individu itu sendiri. Hal ini demikian kerana, amannya sesuatu komuniti amnya bergantung kepada individu itu. Setiap individu itu haruslah mengamalkan sikap tolak ansurdan saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Setiap rakyat haruslah sentiasa mengamalkan 17 nilai murni dalam kehidupan seharian mereka. Dengan adanya pengamal sikap-sikap murni dalam diri masyarakat di Malaysia, hidup setiap masyarakat rakyat pelbagai kaum akan sentiasa aman dan harmoni. Sebagai contohnya, rumah kita mengadakan rumah terbuka sempena sesuatu perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, tidak seharusnya kita menghalang jiran kita walaupun mereka bukanlah seagama dengan kita dari mengunjungi kita dan bersama-sama meraikannya bersama kita. Seandainya setiap rakyat mengamalkan sikap bertolak ansur dan sayang menyayangi antara satu sama lain, sudah pasti keharmonian masyarakat berbilang kaum akan dapat dikekalkan, kerana tegap rumah kerana sasaknya, teguh negara kerana keutuhan bangsanya. Tegasnya, sikap individu memainkan peranan yang paling penting untuk mengekalkan keharmonian dan kemakmuran masyarakat berbilang kaum di Malaysia hari ini.

Di samping itu, pihak sekolah juga merupakan penjamin masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita agar hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Pihak sekolah mestilah mengadakan aktiviti-aktiviti yang berunsurkan kemasyarakatan dan melibatkan komuniti pelbagai kaum. Seterusnya, pihak sekolah juga haruslah menggalakkan pemakaian pakaian tradisi kaum masing-masing semasa sambuatan-sambutan seperti sambutan Hari Kemerdekaan, perayaan dan sebagainya supaya masyarakat berbilang kaum di negara kita akan dapat merasai nikmat keharmonian dan kemakmuran hidup dalam masyarakat majmuk di negara Malaysia. Sebagai contoh, bagi kaum Melayu mereka hendaklah memakai baju Melayu dan baju kurung manakala kaum Cina memakai cheongsam dan memakai sari bagi kaum India . Sikap ini berjaya  menyemaikan semangat perpaduan dalam diri pelajar seterus akan terus bercambah dengan subur apabila mereka memasuki alam dewasa. Sesungguhnya, pihak sekolah memainkan peranan penting dalam mengekalkan keharmonian dan kemakmuran masyarakat berbilang kaum di negara Malaysia, bak kata peribahasa jika tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya.

Amalan masyarakat itu juga salah satu langkah untuk mengekalkan keharmonian antara kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Amalan masyarakat yang baik dapat mengamankan masyarakat majmuk di Malaysia. Keamanan masyarakat ini dapat dikekalkan dengan penglibatan pelbagai kaum dan setiap aktiviti yang diadakan dalam sesebuah komuniti. Sebagai contoh, pengamalan tradisi sukan komuniti tahunan dengan penglibatan dari setiap golongan kaum yang berlainan disertai dengan pengamalan sikap-sikap terpuji dalam tradisi yang dilakukan. Seandainya amalan tradisi dalam sesebuah masyarakat dengan penglibatan pelbagai kaum tidak diamalkan, sudah pastilah keharmonian masyarakat tidak dapat dikekalkan. Pendek kata, amalan tradisi masyarakat dengan penglibatan masyarakat majmuk dapat mengekalkan keamanan dan kemakmuran hidup bermasyarakat dalam komuniti pelbagai kaum,  seperti yang diperjelas dalam peribahasa ke lurah sama dituruni, ke gunung sama didaki.

Di samping itu, media massa juga memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keharmonian dan keamanan antara masyarakat majmuk di negara kita. Hal ini demikian kerana, media massa merupakan satu mekanisma atau alat sebaran am yang dapat menyampaikan maklumat atau berita kepada orang ramai dengan cepat dan dalam masa yang singkat. Sikap mudah terpengaruh dengan media massa seperti radio atau televisyen merupakan senario yang biasa kita lihat pada hari ini. Dengan tersiarnya iklan-iklan atau cerita-cerita yang bertemakan perpaduan dan keharmonian, semangat cinta akan keamanan akan terus tersemat di dada semua rakyat di Malaysia. Sebagai contoh, cerita dan iklan seperti filem “Papadom” dan iklan TM yang memaparkan persahabatan antara kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India. Seandainya, media massa tidak memainkan peranan mereka sebagai alat sebaran am terpantas, sudah pasti keharmonian dan kemakmuran masyarakat sukar dikekalkan dalam anggota masyarakat di negara kita. Jelaslah bahawa media massa merupakan mekanisma penghubung antara masyarakat dalam mengekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Kerajaan juga memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara kita. Hal ini demikian kerana negara kita mengamalkan amalan demokrasi dan diperintah oleh sebuah kerajaan yang adil dan saksama. Gagasan “1 Malaysia” yang sentiasa berubah bergantung kepada sesuatu peristiwa yang penting telah membawa kepada satu transformasi yang drastik dalam mengekalkan keharmonian negara. Setiap rakyat haruslah sanggup berjuang berkorban dan bergadai nyawa untuk mempertahankan kedaulatan, keamanan dan cara hidup tanpa mengira kaum. Sebagai contoh sempena Hari Kemerdekaan ke-54 tahun 2011, pengasas cogan kata “1 Malaysia”, Perdana Menteri Malaysia keenam iaitu Datuk Seri Mohd Najib B. Abd Razak telah menjadikan tema “1 Malaysia” kepada tema ‘transformasi berjaya,rakyat sejahtera’. Seandainya kerajaan memainkan peranan dengan betul, jujur dan amanah sudah pasti kesejahteraan hidup bermasyarakat dalam pelbagai kaum dapat dikekalkan. Tegaslah bahawa kerajaan merupakan satu pihak yang memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian antara masyrakat berbilang kaum di negara kita. Dalam konteks ini,masyarakat haruslah berganding bahu dan bertolak ansur di samping pengamalan amalan tradisi serta kerjasama antara sekolah,media massa dan kerajaan bagi mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Oleh itu, sempena menyambut Hari Kemerdekaan Ke-54 dan bulan pembentukan Malaysia, marilah kita sama-sama bertekad untuk menjadi lebih patriotik,berikrar untuk memberi sumbangan penuh beerti kepada masyarakat, lebih bersatu padu dan mahu berkorban kepada negara kerana sesungguhnya ‘Bulat air kerana pembetung,bulat manusia kerana muafakat’.