Sunday, 13 November 2011

AMALAN BERJIMAT CERMAT AMAT PENTING DALAM MENGHADAPI KRISIS EKONOMI HARI INI. BERIKAN PENDAPAT ANDA TENTANG PERANAN KELUARGA DALAM MEMUPUK AMALAN BERJIMAT CERMAT.

Semua pihak telah maklum, bahawa sejak tahun 2008 hingga 2011 merupakan tempoh getir bagi masyarakat dunia ekoran kesuraman ekonomi. . Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang tidak menentu dan kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sebagai contohnya, peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan telah menimbulkan pelbagai krisis ekonomi dan menjadikan suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu bagai cacing kepanasan. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India,  Cina dan yang terkini ialah Thailand dan Vietnam  amat menakutkan kita. Namun begitu, rakyat Malaysia masih boleh menarik nafas lega kerana negara kita tidak begitu teruk terjejas. Sungguhpun demikian, langkah awal perlu diambil  agar dapat menyediakan payung sebelum hujan. Bagi mendepani keadaan darurat seperti itu, setiap keluarga haruslah bijak memainkan peranan dalam memupuk amalan berjimat cermat dalam kalangan anggotanya.

Prakasa perdana yang boleh untuk memupuk budaya berjimat cermat terpikul pada bahu ibu bapa. Hal ini demikian kerana pendidikan awal kanak-kanak bermula di rumah.  Rumah merupakan institusi pertama  yang bertanggungjawab menyemai budaya ini lantaran melentur buluh mestilah dari rebungnya.  Orang-orang tua pernah berkata, jika hendak mendidikan asas berjimat cermat dalam segala perkara, tempat paling baik ialah dari dalam ceruk dapur sendiri kemudian barulah boleh dilanjutkan kepada aktiviti lain yang berkaitan.  Pengajaran ini dapat kita terjemahkan sebagai usaha yang perlu dilakukan oleh setiap seisi rumah berhubung urusan perbelanjaan harian seperti  makan minum, dan penyediaan perkara-perkara asas rumah tangga. Kita tidak perlu meniru jiran tetangga dalam soal mengatur perbelanjaan kerana sikap meniru gajah berak besar, maka kancilpun hendak berak besar juga, akan menjerut leher sendiri.  Dengan kata lainnya, perbelanjaan seisi rumah perlulah mengikut kemampuan diri seperti kata pepatah,  mengukur baju di badan sendiri. Tegasnya, penghuni rumah yang bijak merancang perbelanjaan  dan berjimat cermat tidak akan berdepan dengan masalah kewangan tegal.

Prakasa seterusnya ialah para ibu bapa hendaklah mendominasikan amalan hidup bersederhana dan merancang perbelanjaan mengikut kemampuan. Hal ini demikian kerana ibu bapa umpama menteri dan timbalan kewangan rumah tangga kerana  segala perbelanjaan bergantung kepada kebijaksanaan mereka mengendalikannya. Jika mereka bersikap boros dan  tunduk kepada kehendak nafsu nescaya sikap mereka akan menjadi ikutan kepada anak-anak seperti  kata peribahasa air perabung akan menitis melalui cucur atap.  Oleh itu, sebagai ibu bapa perlu berhemah dalam berbelanja semoga anak-anak akan mengikut jejal langkah baik mereka kerana ke mana tumpahnya kuah jika bukan ke nasi.  Lantaran itu, sebagai ketua rumah tangga mereka perlu mendominasikan amalan hidup bersederhana sebagai jalan keluar untuk berjimat sekali gus menyahut seruan Islam agar berbelanja berlandaskan akal bukannya nafsu yang serakah.

Prakasa selanjutnya ialah para ibu bapa perlu bijak merancang masa depan secara bijaksana. Sebagai contohnya mereka boleh mengamalkan budaya menabung. Pada masa yang sama mereka boleh menggalakkan anak-anak mereka mengikut jejak langkah mereka tambahan pula amalan ini boleh membantu mereka pada saat kecemasan. Bak kata peribahasa, sediakan payung sebelum hujan. Hal ini juga merupakan strategi untuk  bertindak sebelum datang sesuatu bencana atau musibah seperti yang pernah diingatkan peribahasa beringat sementara belum kena, berjimat sementara belum habis. Sebagai contohnya, jika berlaku saat kecemasan seperti kematian, bencana alam, atau lain-lain musibah, wang yang disimpan boleh digunakan tanpa meminta bantuan daripada pihak ketiga. Di sini, membuktikan bahawa kebijaksanaan merancang masa menjamin kemantapan ekonomi, keselesaan hidup dan kebahagiaan rumah tangga.

Seterusnya, para ibu bapa perlu bertindak menyediakan pelan bertindak bajet untuk saraan keluarga.  Jika sekiranya mereka menyusun bajet dengan teliti dan mematuhinya, saya yakin mereka tidak akan berdepan dengan masalah kewangan. Perbelanjaan hanyalah ditumpukan kepada urusan-urusan yang lebih penting sahaja kerana orang yang bijak menyusun perbelanjaan umpama berjalan di lantai yang licin.  Sebaliknya jika perancangan tidak disusun dengan rapi,  perbelanjaan  kemungkinan akan melebihi bajet yang ada kelak yang merana diri sendiri bak kata  peribahasa; hendak kaya berdikit-dikit, hendak papa bertabur urai. Sebagai contohnya, para ibu bapa dan seluruh anggota keluarga mesti merancang setiap perbelanjaan sebelum  gaji diterima untuk mengelakkan lebihan belanjawan.  Hal ini bertujuan untuk  mengelakkan  daripada berbelanja melebihi kemampuan akhirnya diri sendiri terjerat dengan hutang akibat penggunaan kad kredit secara membabi buta.  Lebih malang lagi jika mereka berani berhutang dengan "along" hanya kerana terlalu mengejar kemewahan material, akhirnya diri dan keluarga hidup sensara bagai nyawa di hujung pedang. Tegasnya, keluarga yang bijak menyediakan bajet akan terhindar daripada pembaziran sekali gus mengamalkan budaya perbelanjaan berhemah.

Prakasa terakhir yang perlu dilakukan oleh keluarga  dalam usaha mengamalkan budaya berjimat cermat ialah  menggunakanhemah dan akal pada saat wang banyak di saku dan jangan sesekali biarkan diri  dikuasai nafsu yang menggila. Dengan kata lainnya, mereka perlu memiliki daya pertimbangan yang  berasaskan minda bukannya membuat  keputusan berdasarkan keinginan dan tuntunan nafsu. Hal ini demikian untuk  mengelakkan sikap suka berlumba-lumba dengan jiran tetangga atau sahabat handai. Keadaan ini memang  wujud dalam masyarakat kita, di sebabkan perasaan ingin bersaing dan ingin dipandang tinggi, mereka sanggup berbelanja besar tanpa mengukur di baju sendiri. Akhirnya mereka juga yang ditimpa kesusahan kerana dikejar oleh si pemberi hutang atau “along”. Lintah-lintah darat ini sentiasa mencari mangsanya yang tidak hemah berbelanja kerana inilah peluang untuk mereka menangguk di air keruh. Tegasnya, keluarga yang hemah dalam perbelanjaan akan hidup senang tanpa bebanan hutang umpama seni kata lagu Fauziah Latif, setenang air  di tasik madu.

Secara tuntasnya, seluruh keluarga di negara  ini diseru agar  mengamalkan budaya berjimat cermat  dengan berpegang kepada falsafah bahawa, “Seseorang yang bijak menguruskan perbelanjaan tidak bergantung kepada berapakah pendapatan seseorang itu, sebaliknya bergantung kepada berapa banyakkah yang seseorang itu boleh menyimpan?”.  Falsafah ini  bertujuan mengingat dan melatih diri dengan budaya positif sekali gus mengelakkan daripada berhadapan dengan bankrup atau gulung tikar. Darah setampuk pinang, umur setahun jagung telah menyebabkan ramai pengusaha-pengusaha baru dalam bidang perniagaan terpaksa gulung tikar kerana gagal mengawal perbelanjaan berhemah.   Begitu juga dengan penjawat awam yang berharap kepada pendapatan makan gaji, baru setengah bulan wang di kocek sudah kering kerana gagal mengamalkan prinsip berjimat cermat. Sesungguhnya, kebijaksanaan menguruskan kewangan keluarga merupakan kunci kebahagiaan rumah tangga dan keharmonian negara.