Friday, 22 July 2011

Jenayah Siber

SALAH LAKU MORAL MENERUSI INTERNET

Kita sering digemparkan dengan kes-kes jenayah siber membabitkan penggodam profesional yang menceroboh laman-laman web sosial, kerajaan dan bank-bank bertaraf antarabangsa. Perbuatan itu mengakibatkan kerugian kepada syarikat-syarikat kewangan kerana penggodam tersebut membuat  pindahan wang bernilai jutaan ringgit. Sayangnya kes-kes sedemikian akhirnya  dilupakan begitu sahaja umpama layang-layang putus tali. Kes sedemikian menggambarkan betapa penciptaan peralatan komunikasi seperti internet telah disalahgunakan oleh segelintir masyarakat yang tidak bermoral untuk tujuan plagiasme. Secara ringkasnya, salah laku menerusi internet adalah bertentangan dengan etika, tatasusila dan salah di sisi undang-undang seperti yang ditegaskan oleh baginda  Rasulullah s.a.w yakni “Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu”.

Perlakuan salah laku menerusi internet melibatkan perlakuan gangguan seksual. Hal ini demikian kerana segelintir masyarakat yang gilakan kebebasan seks menggunakan internet untuk menawarkan khidmat seks malahan ada yang memaparkan perlakuan sumbang yang bertentangan dengan nilai, etika dan peradaban manusia normal. Isu ini mungkin kecil tetapi kesannya kepada individu amat besar kerana salah laku sedemikian akan terus dimanipulasi tanpa pengujungnya,  ibarat kecurian maruah yang tidak dapat dikembalikan. Sebagai contohnya, aduan daripada Syarikat Komunikasi Multimedia (SKMM) mendakwa bahawa banyak laman sesawang yang telah diceroboh oleh golongan yang tidak bertanggungjawab untuk menghantar emel berbentuk lucah kepada teman-teman, rakan sekerja, dan pengguna lain. Tegasnya, salah laku internet ini jika dibiarkan ibarat membiarkan bisul kecil  yang akan memakan sel-sel tubuh dan tulang-temulang manusia sehingga menjadi bangkai bernyawa.

Perlakuan salah saku internet juga  menyebabkan manusia semakin hilang harga diri. Hal ini sedemikian menggambarkan bahawa generasi kini semakin cetek agama dan budaya. Hal ini dibuktikan daripada laporan seorang Ketua Perunding Pengurusan Perkhidmatan dan Perundingan, HiTech Managed Services yang mendakwa ramai pekerjanya telah menerima emel lucah   daripada  penggodam tidak bertanggungjawab. Sesiapa sahaja boleh mengirimkan emel sedemikian asal sahaja mereka mahir teknologi maklumat termasuklah kanak-kanak kerana kerja ini  sangat mudah dilakukan. Tambahan pula,  maklumat mengenai teknik menggodam begitu mudah didapati di Internet. Dalam hal ini, hanya keimanan dan didikan agama yang mantap boleh menjadi benteng kepada perlakuan ini. Pendita bijak pandai pernah mengatakan, “Kesilapan yang kecil boleh membawa banyak perkara buruk kepada mangsanya.”

Perlakuan salah laku tidak bermoral melibatkan sebilangan besar masyarakat merangkumi  golongan remaja dan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana ramai penggodam internet terdiri daripada golongan remaja. Mereka begitu mahir melakukan  penipuan, pencurian identiti, “phishing”, pencurian data, “spyware”, dan  “malware”.  Fenomena ini sangat  sukar untuk dikesan dan memberi impak negative kepada masyarakat dan negara. Sebagai contohnya, perbuatan salah laku moral penggodam internet telah menggunakan  laman web  untuk meraih  populariti seperti laman web Facebook dan Twitter. Mereka mencuri  maklumat peribadi, gambar-gambar dan video  dan menyalahgunakannya untuk tujuan yang tidak sihat. Oleh itu, semua pengguna  laman sesawang ini perlu berhati-hati kerana dibimbangi perbuatan mereka akan menyusahkan sendiri.  ibarat menepuk air di dulang  akhirnya terpercik  ke muka sendiri.

Langkah menangani kemelut ini perlu dilakukan agar kita tidak menjadi mangsa penggodam komputer. Dalam erti kata lain, seseorang itu mesti mempunyai etika siber kerana pengetahuan ini akan akan mengajar pengguna lebih berhemah dan  bertanggungjawab. Seandainya, setiap pengguna  mampu melaksanakan etika siber dengan baik sudah pasti  perlakuan salah laku tidak bermoral ini tidak berlaku. Selain itu, pengguna perlu mempunyai program antivirus yang baik, mengemas kini kata laluan, belajar untuk membuat kata laluan yang selamat serta tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali. Hal ini dibuktikan dari laporan  CyberSecurity Malaysia, sebanyak 4,000 kes jenayah siber dikenal pasti  berlaku di Malaysia sejak dua tahun lalu.  Pendek kata, jika pengguna internet mengamalkan sikap sediakan payung sebelum hujan, sudah tentu mereka akan dapat mengurangkan kes salah laku moral internet yang mereka layari. Prof Hamka pernah berpesan, “Gunalah akal kerana akal membentuk budi, membentuk kebudayaan dan tidak menjerumuskan manusia kepada kehancuran sebaliknya jika manuasia menggunakan hawa nafsu, ia akan membawa kesesatan”.

Pihak berwajib telah mengenal pasti bahawa perlakuan salah laku moral menerusi internet juga melibatkan kes jenayah komputer. Hal ini demikian dibuktikan daripada kajian Mohd Ali, wakil SKMM yang menegaskan bahawa  kebanyakan kes melibatkan pengeluaran wang mangsa tanpa kebenaran melalui mesin juruwang automatik (ATM) manakala kebanyakan kes jenayah Komunikasi dan Multimedia pula membabitkan perbuatan merosakkan rangkaian pondok telefon. Oleh itu, langkah menangani kes jenayah ini memerlukan kepakaran pihak berwajib, khasnya pihak polis dalam menangani jenayah ini. Justeru, pihak SKMM telah menganjurkan bengkel multimedia dengan PDRM. Hal ini bertujuan meningkatkan keupayaan pihak berkuasa dalam menangani siasatan dalam hal berkaitan jejayah siber.

Sebagai natijah daripada perbincangan ini, dapat saya simpulkan bahawa salah laku moral menerusi internet merupakan  masalah sejagat. Bermakna usaha membendungnya juga perlu kerjasama sejagat seperti kata peribahasa, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Yang berat sama kita pikul yang ringan sama kita jinjing, barulah masalah ini berjaya kita tangani. Pujangga juga pernah mengingatkan kita agar berfikir secara rasional tanpa dipengaruhi oleh naluri atau emosi merupakan satu cara menyelesaikan masalah yang paling berkesan.  Golongan muda merupakan pemangkin kesejahteraan negara dan mereka yang perlu diberi kesedaran tentang isu ini. Didikan agama yang mantap daripada ibu bapa, disusuli dengan kesepaduan pendidikan di sekolah dari aspek sahsiah dan jati diri akan membentuk golongan ini sebagai insan berpekerti mulia. Bijak mengendali arus pembangunan globalisasi dan tidak mudah tunduk dengan arus liberalisasi. Mereka mesti menjadi seperti  pepohon yang rendang tempat  insan tumpang berteduh, bukan sekadar  menjadi  seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api. Hal ini demikian kerana mereka merupakan pasak keutuhan negara pada masa akan datang, umpama madah pujangga yang berbunyi, teguh rumah kerana sasaknya, teguh negara kerana bangsanya.

No comments:

Post a Comment