Tuesday, 10 May 2011

KEMPEN GAYA HIDUP SIHAT

Kempen Gaya Hidup Sihat telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang mementingkan kesihatan dan kesejahteraan hidup. Bincangkan usaha-usaha untuk mewujudkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat.
Muktahir ini, Kempen Gaya Hidup Sihat telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang mementingkan kesihatan dan kesejahteraan hidup. Gaya hidup sihat merangkumi aspek fizikal, mental dan rohaniah. Namun begitu, masyarakat Malaysia hari ini masih kurang mengamalkan gaya hidup sihat. Mengikut kajian, kira-kira 2.5 juta rakyat Malaysia menghidap sakit jantung, manakala 19% daripada jumlah penduduk Malaysia diklasifikasikan sebagai obes. Saban hari, kita juga sering mendengar berita tentang gejala sosial seperti kes pembunuhan, kes rogol atau kes ragut beg tangan terpapar di dada akhbar. Hal ini jelas menunjukkan masyarakat Malaysia masih kurang mengamalkan gaya hidup sihat. Persoalanyang tidak lekang daripada bibir masyarakat ialah apakah usaha-usaha untuk mewujudkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat?
Antara usaha untuk mewujudkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat termasuklah menggalakkan orang ramai untuk bersukan atau beriadah. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Chek sendiri mengakui kepentingan sukan untuk melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat. Dengan bersukan, kita dapat meningkatkan kesihatan diri kita dari aspek fizikal. Menurut laporan satu kajian, sekiranya seseorang itu bersenam selama 30 minit sebanyak tiga kali seminggu, seseorang itu dapat mengurangkan risiko menghidapi penyakit kronik seperti penyakit hipertensi, sakit jantung atau penyakit tekanan darah tinggi. Amalan gaya hidup sihat seperti bersukan juga dapat meningkatkan ketumpatan biojisim tulang dan mengurangkan risiko golongan wanita menghidapi penyakit osterioporosis apabila tua kelak.
 Di samping itu, amalan bersukan juga menjadikan otot kardium atau otot jantung lebih kuat dan memastikan aliran darah dapat berjalan dengan lancar. Amalan bersukan juga dapat mengurangkan risiko menghidapi penyakit jantung atau strok kerana kolestrol yang berlebihan akan digunakan untuk menjana tenaga semasa bersukan dan mengelakkan kolestrol tersebut daripada terenap di saluran darah dan menghalang darah mengalir dengan lancar. Menurut majalah “Reader’s Digest”, amalan bersukan juga dapat membantu mengatasi masalah kegendutan. Seseorang itu akan dikategorikan sebagai gendut sekiranya dia mempunyai jisim yang melebihi jisim yang sepatutnya untuk ketinggian sebanyak 20%.  selain itu, pimpinan negara turut sedar akan kepentingan amalan bersukan telah turun padang untuk mengetuai orang ramai dalam aktiviti senam erobik. Memang tidak dapat dinafikan bahawa amalan bersukan memang dapat membantu mewujudkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat.
Dalam pada itu, amalan pemakanan yang betul dan seimbang juga dapat mewujudkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat. Setiap hidangan yang lengkap harus terdiri daripada karbohidrat, protein, lipid, serabut, vitamin, garam mineral dan air. Makanan yang mengandungi lipid dan kolestrol harus merangkumi hanya 5% daripada satu hidangan lengkap. Karbohidrat penting untuk membekalkan tenaga kepada badan kita dan memastikan metabolism  badan berjalan secara lancar. Protein pula akan membantu badan kita membina sel dan tisu badan yang baru. Vitamin dan garam mineral merupakan nutrien yang tidak membawa sebarang nilai tenaga tetapi penting untuk mengekalkan fungsi badan yang optimum. Misalnya, vitamin D penting bagi membantu penyerapan ion kalsium dan ion fosferus serta membantu membina tulang dan gigi yang kuat serta sihat, manakala garam mineral ferum penting untuk membentuk hemoglobin yang diperlukan untuk pengangkutan oksigen dalam proses respirasi. 
Selain itu, serabut yang diperoleh daripada sayur-sayuran penting untuk memastikan proses penyejatan berlaku dengan lancar dan masalah sembelit dan penyakit kolon dapat dielakkan. Badan kita terdiri daripada 75% air. Oleh itu, air merupakan suatu komponen penting dalam badan dan seseorang itu seharusnya meminum sebanyak dua liter air sehari. Air berfungsi sebagai medium untuk tindak balas biokimia dalam badan serta membantu mengekalkan suhu badan pada suhu 31darjah selsius., iaitu suhu yang optimum untuk enzim badan. Amalan pemakanan yang betul juga termasuk mengurangkan makanan yang mempunyai kandungan garam atau kandungan gula yang tinggi. Kandungan garam yang tinggi dalam badan akan mengakibatkan seseorang itu menghidapi penyakit tekanan darah tinggi atau hipertensi, manakala kandungan gula yang tinggi akan mengakibatkan seseorang itu menghidap penyakit kencing manis atau penyakit diabetis melitus, iaitu keadaan apabila hati seseorang tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi untuk menukarkan glukosa menjadi glikogen. Oleh itu, amalan pemakanan yang betul akan membantu mewujudkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Untuk mengamalkan gaya hidup sihat, seseorang itu harus menghindari amalan merokok atau meminum arak. Mengikut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap hisapan rokok boleh memendekkan tempoh hayat seseorang itu sebanyak lima saat. Setiap batang rokok pula mengandungi kira-kira 4000 jenis racun, termasuklah prestisid, nikotin, formaldehid dan insektisid. Bahan-bahan kimia sedemikian yang disedut ke dalam badan seseorang perokok akan mengakibatkan mutasi sel berlaku. Seseorang perokok besar kemungkinan akan menghidapi penyakit kanser. Paru-paru seseorang perokok akan mengalami pembahagian sel secara tidak terkawal sehingga mengakibatkan seseorang itu menghidap kanser peparu. Trakea seseorang perokok pula akan melecur dan mengakibatkan kesakitan yang kronik.
Apabila menyedari hakikat tersebut, pihak kerajaan telah melancarkan kempen “Tak Nak!
terhadap rokok kerana  setiap sedutan akan  membawa padah!”.  Kempen ini bertujuan  menyedarkan orang ramai tentang kesan negatif merokok sekali gus menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dengan menghindari amalan tersebut. begitu juga jika seseorang itu meminum arak secara berlebihan, mereka akan mengalami gangguan emosi dan kehilangan keupayaan untuk berfikir secara logik dan rasional. Selain itu, seseorang yang kerap meminum arak juga akan merosakkan hatinya dan kehilangan keseimbangan badan. Kerap kali, seseorang yang mabuk akan memandu dan seterusnya mengakibatkan nahas jalan raya berlaku. Untuk menggalakkan orang ramai supaya menghindari amalan negatif sebegitu, pihak kerajaan telah mengenakan peningkatan duti eksais untuk rokok dan arak dalam Belanjawan 2005. Jelas sekali, bahawa amalan tidak merokok dan tidak meminum arak, juga merupakan gaya hidup sihat.

Di samping itu, untuk mengamalkan gaya hidup sihat dari segi mental dan rohaniah, seseorang itu harus mempunyai didikan agama atau moral sejak kecil lagi bak kata pepatah, “Melentur buluh,biarlah daripada rebungnya.” Dengan menyemai nilai-nilai murni, seseorang itu pasti akan bersikap bertanggungjawab dan menjauhi gejala sosial seperti merompak, merogol atau membunuh. Selain itu, seseorang itu juga harus bergaul dengan rakan sebaya yang memberikan pengaruh positif dan menjauhi rakan ‘celaka’ yang akan mengakibatkan seseorang itu terjebak ke dalam kancah maksiat. Ibu bapa juga harus memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak serta bersikap prihatin terhadap anak-anak untuk memastikan anak-anak membesar dalam persekitaran yang kondusif dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Sebagai  natijahnya, untuk melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang, kita seharusnya berusaha mewujudkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat. Amalan gaya hidup sihat pasti akan dapat melahirkan masyarakat yang mementingkan kesihatan dan kesejahteraan hidup, lalu impian untuk mewujudkan negara Malaysia yang mengamalkan gaya hidup sihat Satu Malaysia menjadi realiti. Oleh itu, bersama-samalah kita berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat.




























No comments:

Post a Comment

Post a Comment