Monday, 2 May 2011

Langkah-langkah Menangani Jenayah dalam Kalangan Remaja


KARANGAN CONTOH DARIPADA CIKGU. HARAP ANAK-ANAK DIDIK CIKGU DAPAT MEMANFAATKANNYA.

Remaja sering kali dikaitkan dengan gejala jenayah yang banyak menimbulkan masalah dalam kehidupan masa kini. Vandalisme, gengsterisme dan buli merupakan jenayah yang acapkali didengar melalui media elektronik, media cetak mahupun percakapan orang ramai. Gejala ini sememangnya menimbulkan pelbagai masalah negatif dan secara langsung mempengaruhi jiwa remaja yang mudah memberontak dan ingin mencuba sesuatu yang mencabar. Mungkinkah ini salah satu cara pergaulan remaja sekarang? Walaupun pelbagai andaian dibuat berhubung gejala jenayah dalam kalangan remaja,  namun senario ini  perlu dibanteras dengan segera agar tidak berleluasa, dikhuatiri kudis kecil akan merebak menjadi barah yang sukar diubati. Justeru,  tindakan proaktif perlu diambil oleh pihak berwajib dengan kerjasama masyarakat untuk mengekang gejala agar tidak menjadi wabak  kepada negara bangsa.
Usaha yang paling efisien untuk mengatasi masalah jenayah dalam kalangan remaja di negara ini, bermula daripada didikan awal ibu bapa. Iman Al-Ghazali pernah bersabda, “mendidik anak-anak ibarat menanam biji benih. Ia perlu di baja dan disiram setiap hari dengan pebuh kasih sayang agar biji benih tersebut akan membesar dan membuahkan hasil”. Hal ini  membuktikan bahawa kebijaksanaan ibu  mendidik anak-anak  pada usia muda akan menghalang mereka dari  terjerumus dalam kebejatan sosial.  Melentur buluh biarlah dari rebungnya,  merupakan satu ungkapan yang perlu diambil iktibar oleh setiap ibu bapa dalam mendidik dan mengatur kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memberi penekanan kepada pendidikan agama sejak ubun-ubun mereka masih lembut agar mereka  faham setiap perkara yang dilakukan sama ada salah atau betul. Janganlah sesudah  nasi menjadi bubur, barulah ibu bapa mahu bertindak, kelak dibimbangi akan mengeruhkan lagi keadaan. Seterusnya,  ibu bapa  tidak seharusnya bersikap lepas tangan dalam mendidik anak-anak disebabkan kesibukan bekerja dan melepaskan tanggungjawab mereka kepada pembantu rumah. Tegasnya, ibu bapa harus memberi perhatian yang secukupnya kepada anak-anak dan remaja supaya mereka menganggap ibu bapa merupakan penaung yang paling selamat untuk mereka berlindung dan  dan tempat terbaik untuk berkongsi  masalah.
Selain ini,  antara inisiatif yang dapat kita ambil sebagai langkah mencegah jenayah dalam kalangan remaja ialah peranan pihak berkuasa untuk  mewujudkan konsep pekan dan bandar  selamat. Konsep ini merangkumi suatu skop yang sangat besar untuk dibincangkan. Pelbagai langkah telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan  dalam proses mewujudkan konsep pekan dan bandar  selamat. Antara langkah tersebut adalah  dengan mewujudkan pengawalan rapi oleh pihak-pihak tertentu seperti Rela, Rukun Tetangga, polis  di zon-zon panas agar  kawasan tersebut dapat dihalang  daripada kes-kes kecurian, rompakan, rogol, dan ragut. Pengawalan yang rapi daripada pasukan-pasukan tersebut, dapat menakutkan remaja yang ingin melakukan jenayah. Pemasangan kamera-kamera litar tertutup di kawasan yang berpotensi adalah perlu sebagai langkah berjaga-jaga. Tambahan pula, medium ini dapat menjadi  bahan bukti apabila sesuatu kes jenayah berlaku di kawasan tersebut. Sekiranya konsep pekan dan bandar selamat diwujudkan, nescaya terdetik rasa was-was kepada si penjenayah  untuk a melakukan aktivitinya di kawasan tersebut. Dengan cara ini, pekan dan bandar berada dalam keadaan selamat, sekali gus  mampu mencegah kegiatan jenayah dalam kalangan remaja.
Saya juga beranggapan bahawa  pengenalan semula subjek  Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah  merupakan satu langkah  bijak mendidik remaja agar menjauhi jenayah.  Seandainya, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) menjadi pelajaran teras sudah pasti masalah jenayah dalam kalangan remaja dapat diatasi. Matapelajaran PSK ini merupakan satu langkah membentuk peri laku  remaja yang mulia, bernilai murni dan bersahsiah. Pengenalan semula subjek  ini, dapat mendidik  individu pelajar supaya lebih berjati diri, bersahsiah dan berupaya menyelesaikan masalah yang mereka hadapi secara bijak  tanpa unsur-unsur keganasan. Pada masa yang sama, mereka akan lebih memahami kepelbagaian agama, budaya dan amalan hidup bermasyarakat. Tegasnya Pendidikan Sivik dan Kewarganegraan (PSK)  mampu mendidik pelajar menjadi insan yang berhemah dan sanggup menyumbang tenaga dan minda terhadap pembangunan negara. Sudah terang lagi bersuluh, kes-kes jenayah boleh ditangani dengan pendidikan iaitu melalui pengenalan semula subjek  khas yang boleh dipelajari oleh para remaja.
Selain itu, kempen-kempen pencegahan jenayah dalam kalangan remaja juga boleh diadakan pada peringkat sekolah.  Pelbagai kempen mencegah jenayah diadakan di sekolah, seperti cendawan tumbuh selepas hujan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja terutamanya peringkat sekolah rendah lagi. Hal ini demikian kerana para pelajar pada tahap ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah. Seandainya para pelajar diberi pendedahan awal tentang kes-kes jenayah, sudah tentu masalah jenayah dalam kalangan remaja dapat diatasi. Dengan ini, mereka akan berasa takut untuk melakukan jenayah setelah terlibat dalam kempen-kempen kesedaran yang diadakan di sekolah. Contoh kempen pencegahan jenayah yang sering diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah, dan menjemput  pegawai polis untuk hadir memberi ucapan  berhubung kegiatan jenayah, kesan, dan hukuman terhadap  penjenayah. Mudah-mudahan,  kempen kesedaran yang diadakan ini dapat meningkatkan tahap kesedaran para remaja seterusnya mengurangkan penglibatan mereka dalam jenayah.
Penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan antara modus operandi untuk menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja yang semakin leluasa. Kelab Pencegah Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana Antidadah (SLAD) merupakan antara kelab bersifat antijenayah yang ditubuhkan di sekolah. Kelab-kelab seperti ini bukan sahaja mendedahkan keburukan melakukan jenayah malahan menggalakkan remaja untuk mengambil bahagian dalam aktiviti bersifat  mahmudah seperti tolong-menolong dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kelab bersifat antijenayah sosial  boleh menjadi agen mencegah jenayah dalam kalangan remaja. Hal ini bersesuaian dengan pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubat. Oleh itu, kelab-kelab bersifat antijenayah sosial haruslah lebih giat dilaksanakan bagi membanteras gejala jenayah di negara ini. Tegasnya, penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan langkah prakmatik dan dogmatik  menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja.
Sebagai konklusinya, kegiatan jenayah dalam kalangan remaja mendatangkan impak negatif  kepada diri, masyarakat dan negara,  malah turut menjadi virus epidimik yang akan menjatuhkan imej negara di mata dunia. Oleh itu, setiap orang  harus menyedari peranan mereka dalam membanteras jenayah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.   Oleh itu, masyarakat perlu menggembleng tenaga untuk membanteras jenayah yang semakin membarah dalam kalangan remaja sebaliknya dapat meminimumkan statistik jenayah sosial remaja. Semoga hasrat  melahirkan lebih ramai  remaja yang bersahsiah tinggi dan berbudi pekerti akan menjadi satu realiti

6 comments: