Contoh karangan Peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 4 sesi 2011:
Peranan anda dalam usaha menangani masalah buli
Remaja sering kali dikaitkan dengan gejala jenayah yang banyak menimbulkan masalah dalam kehidupan masa kini. Gejala buli merupakan jenayah yang acapkali dilakukan oleh remaja sehingga sering menjadi bahan perbincangan melalui media elektronik, media cetak mahupun percakapan orang ramai. Gejala ini sememangnya menimbulkan pelbagai masalah negatif kepada pembuli dan pemangsa. Mungkinkah ini salah satu cara pergaulan remaja sekarang? Dan saya sebagai anak jati bumi merdeka ini bertanggungjawab membantu kerajaan menghalang fenomena ini daripada terus menjadi bisul dan bernanah dalam masyarakat.
Langkah perdana yang bakal saya lakukan untuk mengatasi gejala buli dalam kalangan remaja pelajar di sekolah saya adalah dengan melaporkannya kepada guru disiplin atau pihak pentadbir. Hal ini demikian kerana guru disiplin, kaunselor dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK HEM) boleh bertindak pantas menjejak pelajar yang terlibat dengan buli. Dan jika sabit kesalahan berserta bukti sahih, pembuli-pembuli tersebut akan dikenakan tindakan disiplin. Sebagai contohnya, ibu bapa mereka akan dipanggil ke sekolah dan pelajar tersebut akan digantung persekolahannya. Tindakan ini bertujuan memberi pengajaran kepada pelajar tersebut dan pelajar lain yang berhasrat melakukan tindakan yang sama. Dalam hal ini, saya akan berperanan sebagai mata dan telinga kepada pihak sekolah. Sebarang perbuatan yang mencurigakan, akan saya laporkan kepada guru disiplin agar mereka dapat membuat pemantauan segera. Sesungguhnya, saya melakukan tanggungjawab ini dengan ikhlas demi menjaga imej sekolah dan penghuninya, bak kata pepatah takut kerana salah berani kerana benar.
Saya bersedia untuk menjadi saksi jika kes yang dilaporkan memerlukan saya berbuat demikian. hal ini demikian diperjelas oleh peribahasa yang bermaksud, jika tangan berani mencincang bahu pula mesti berani memikulnya. Seandainya, pihak sekolah memanggil ibu bapa pelajar yang terlibat dengan buli ke sekolah, dan memerlukan saksi yang melihat kejadian tersebut, saya bersedia untuk tampil untuk menjelaskan perkara sebenarnya. Dalam hal ini, jika saya tidak bertindak sudah pasti peristiwa hitam yang pernah berlaku di SMK Agama Ampangan Seremban, Negeri Sembilan akan terulang sejarahnya. Saya tidak mahu noktah hitam tersebut tercatat di sekolah saya seterusnya pihak sekolah akan dipersalahkan. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, saya mesti pantas bertindak agar fenomena ini tidak mencatat tintanya si sekolah saya. sesungguhnya, saya bertanggungjawab menjaga nama baik sekolah saya bak kata peribahasa cubit paha kanan paha kiri terasa juga. Menyedari hakikat ini, saya mesti membantu pihak sekolah menangani gejala buli dalam kalangan pelajar.
Selain itu, saya akan menghubung pihak polis jika terdapat unsur-unsur keganasan dan jenayah buli dalam kalangan remaja jika kejadian itu berlaku di luar waktu persekolahan. Seandainya saya bertindak pantas, sudah pasti kejadian ini dapat dielakkan dan pembuli dapat ditangkap oleh pihak polis. penangkapan ini akan menjadi teladan kepada remaja lain yang bertindak liar tanpa menghiraukan batas-batas kemanusiaan. Sungguhpun begitu, penangkapan ini bukan bertujuan mengaib remaja terbabit tetapi sebagai peringatan bahawa hidup ini ada peraturannya, seperti kata peribahasa hidup dikandung adat mati dikandung tanah. Tindakan saya membuat aduan kepada pihak polis semata-mata untuk mewujudkan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat, tegak rumah kerana sasaknya, teguh negara kerana bangsanya. Tegasnya, tindakan saya ini bertujuan menghalang penularan kegiatan jenayah dalam masyarakat sekali gus membanteras kacang-kacang hantu yang suka membuat onar dan menganggu kedamaian masyarakat setempat.
Serentak dengan itu, saya juga akan bergiat cergas dalam kelab antijenayah sosial di sekolah seperti Kelab Pencegah Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana Antidadah (SLAD). Saya juga akan mengajak rakan-rakan saya untuk bergerak aktif dalam kelab ini. Semoga penglibatan ini dapat membantu kami menangani gejala buli dalam kalangan rakan-rakan dan tindakan yang akan kami lakukan untuk menghadapinya. Selain itu, kelab ini boleh melatih kami mengisi masa lapang secara berfaedah melalui aktiviti-aktiviti yang telah dirancang. Sebagai contohnya, kami boleh mengasah bakat dengan melukis mural sekolah, membersih kawasan persekitaran dan melakukan kerja-kerja kebajikan di rumah orang-orang tua. pendek kata banyak yang boleh kami pelajari melalui aktiviti yang disusun oleh kelab antijenayah, malahan langkah prakmatik ini mampu menjadi agen menangani masalah buli dalam kalangan pelajar dan remaja.
Selain itu, saya juga akan bergerak aktif sebagai ahli Rakan Cop dalam usaha membantu pihak polis membanteras jenayah. Dengan menjadi ahli Rakan Cop, saya bertanggungjawab menjadi mata dan telinga pihak polis. Jika saya mendapat maklumat berhubung kegiatan jenayah sosial seperti buli dan kegiatan jenayah yang lain, saya boleh menghubungi pihak polis melalui talian Rakan Cop. Informasi ini akan membantu pihak polis menangkap penjenayah-penjenayah tersebut seterusnya menjadikan daerah kediaman saya lebih aman dan harmoni. Tegasnya, saya akan memberi sokongan padu kepada Rakan Cop agar penjenayah yang beraja di mata bersultan di hati dapat segera dihapuskan.
Sebagai konklusi daripada perbincangan ini, saya sentiasa berharap dapat memberi bekerjsama yang padu kepada pihak berwajib demi keamanan tanah air tercinta. Saya berharap agar lebih ramai remaja yang seangkatan dengan saya sanggup tampil menghulurkan bantuan kepada pihak berwajib dalam usaha menurunkan statistik penglibatan jenayah buli dalam kalangan remaja. Seandainya lebih ramai remaja yang sanggup memberikan komitmen mereka, saya yakin masalah ini dapat segera diatasi. Natijah daripada penurunan kadar jenayah buli ini akan memberi nafas baru kepada remaja sekali gus menjadikan mereka modal insan dambaan negara. Dengan itu, slogan “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” akan menjadi hala tuju Malaysia menggalas Wawasan 2020.
.
No comments:
Post a Comment