Thursday, 16 June 2011

SEMANGAT KEJIRANAN

KARANGAN PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2011
MASA: 45 MINIT
MARKAH: 30 MINIT

Gambar di bawah menunjukkan sebahagian langkah-langkah memupuk semangat  kejiranan dalam kalangan masyarakat. Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah tersebut.  Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.

Langkah primer ke arah  menghidupkan masyarakat yang berkonsep kejiranan, maka program rukun tetangga  di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula. Hal ini demikian kerana program rukun tetangga berfungsi sebagai perisai untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari.  Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa mengira kaum kerana masing-masing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan keluarga. Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir bertugas meronda kawasan. Secara ghalibnya, senario ini akan mewujudkan  jalinan hubungan yang mesra bagai isi dengan kuku sekali gus memupuj semangat kejiranan yang hakiki.

Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga merupakan aktiviti yang mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Di majlis ini, jiran tetangga yang datang dapat bertemu dan beramah mesra, saling bertanya khabar. Sambil menyelam minum air, secara tidak langsung pertemuan ini akan menjalinkan kemesraan. Sekali gus hasrat kerajaan untuk merealisasikan perpaduan dan kejiranan akan menjadi kenyataan.

Langkah kerajaan menggunakan saluran media untuk  menyiarkan kempen kesedaran  kejiranan merupakan pemangkin kepada  keteguhan semangat kejiranan.  Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula diasak dengan nilai-nilai budaya berjiran, ziarah menziarahi dan bergotong royong  berusaha  mempertahankan semangat itu di kawasan mereka. Secara tidak langsung kempen yang disiarkan dapat mencelik mereka yang tidur agar bangkit menjadi nadi kepada usaha kejiranan. Bak kata pujangga, langkah pertama merupakan langkah penentu kejayaan sesuatu matlamat yang ingin dicapai. Semoga usaha murni ini dapat menjadi nilai tambah terhadap usaha memupuk semangat kejiranan yang mutlak.

Banyak maslahat yang dapat dicanai apabila masyarakat mengubah  persepsi mereka. Oleh itu, masyarakat  perlu berubah dan menjadikan  semangat kejiranan sebagai pelantar untuk menjana kehidupan bermasyarakat yang positif. Semangat ini perlu disuntik sejak awal dalam kalangan generasi pelapis agar mereka membangun sebagai masyarakat yang bersatu padu dan menjalani cara hidup yang kudus.  Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.

Kesimpulannya, semangat kejiranan perlu menjalani reformasi positif  berpaksikan panji-panji yang didaulatkan seperti yang dijelaskan dalam peribahasa bermaksud, tegak rumah kerana sasaknya, tegak negara kerana bangsanya. Secara ironinya, keunggulan semangat kejiranan akan menjadikan negara bangsa sebuah negara yang utuh di persada dunia, bagai bunga kembang di waktu pagi. Oleh itu,  semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini.




2 comments: