Saturday, 16 April 2011

Pencemaran Sungai


BERIKUT IALAH KARANGAN PELAJAR YANG TELAH CIKGU HARMONIKAN.
Sungai merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai dan perlu dijaga dengan baik oleh manusia.Jelaskan pendapat anda tentang sebab-sebab sungai tercemar dan kepentingan sungai dalam kehidupan.

Pencemaran sungai yang berlaku sepanjang dasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat pelosok dunia. Isu  mengenai  pancemaran sungai sudah menjadi berita basi yang semakin tidak dipedulikan.  Walaupun sebelum ini, kerajaan telah berusaha meningkatkan tahap kesedaran masyarakat tentang kepentingan sungai melalui  kempen-kempen seperti “Cintailah Sungai Kita” namun sambutan daripada  masyarakat terlalu hambar, umpama kopi tanpa gula. Persoalannya, pernahkah terlintas dalam benak anda apakah yang terjadi jika masyarakat semakin mengabaikan kebersihan sungai? Saya bimbang kelak kita akan menjadi seperti ayam mati dikepuk, itik mati kehausan di air, ekoran  ketandusan air bersih untuk diminum. Fenomena  ini tidak wajar dibiarkan, justeru faktor-faktor penyumbangnya perlu dikenal pasti kerana kalau angin tidak bertiup, masakan pokok bergoyang. Dengan demikian, lebih mudah bagi kita untuk menanganinya, kelak yang kusut akan terhurai.

Faktor perdana yang menyumbang kepada pencemaran sungai ialah pembuangan sisa domestik dan sampah sarap oleh penduduk yang tinggal berhampiran sungai. Hal ini ghalibnya dilakukan oleh penduduk yang tinggal berhampiran sungai kerana mereka tidak mempunyai sistem pembuangan sisa buangan yang terancang. Oleh itu, mereka mengambil jalan mudah dengan membuang sisa-sisa buangan, seperti sampah sarap  dan sisa kumbahan ke dalam sungai. Mereka menjadikan sungai seperti sebuah tong sampah yang besar tanpa memikirkan implikasinya untuk jangka panjang. Sikap mereka diibaratkan lempar batu sembunyi tangan ini telah menyebabkan sungai-sungai di seluruh negara tercemar dan berisiko tinggi untuk diminum. Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Sungai Malaysia pada tahun 2007, alasan yang diberikan oleh masyarakat yang membuang sampah ke dalam sungai ialah tong sampah yang sedia ada berada jauh dari tempat tinggal mereka. Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan mudah dengan membuangkan sampah sarap tersebut ke dalam sungai. Impak daripada sikap yang tidak bertanggungjawab ini sungai-sungai menjadi keruh, kotor dan bertambah cetek kerana perutnya terlalu sarat dengan sisa buangan.

Faktor penyumbang selanjutnya ialah pembuangan sisa toksik daripada kilang-kilang ke dalam sungai. Sisa toksik dari kilang kelapa sawit dan kilang tekstil telah mencemarkan sungai dan menurunkan pH air sungai tersebut. pH air sungai yang rendah amat berbahaya kepada manusia dan
kehidupan akuatik. Hal ini demikian kerana jikalau manusia meminum air sungai yang pH rendah, kesihatan mereka akan terjejas dan berkemungkinan membawa maut. Selain itu, kualiti kehidupan akuatik seperti ikan, udang dan kerang akan menurun sekali gus menjejaskan pendapatan penduduk setempat yang bergantung kepada penangkapan ikan dan udang. Ini diperkukuh dengan statistik penurunannya oleh Jabatan Air Malaysia pada tahun 2008. Ketika ditanya sebab-sebab kilang-kilang tersebut  mengalirkan sisa toksik tersebut ke dalam sungai, alasan yang diberi ialah mereka tidak ada pilihan lain selain mengalirkan sisa toksik ke dalam sungai. Sikap mereka yang mementingkan diri sendiri,  bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing telah merosakkan khazanah alam yang sepatutnya dipelihara  demi kepentingan bersama.

Selain itu, faktor penyumbang pencemaran air negara disebabkan oleh tumpahan minyak di perairan negara. Fenomena ini acap kali terjadi di perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan. Hal ini demikian berpunca daripada tong-tong yang mengisi minyak kapal tersebut telah bocor ataupun pecah serta perlanggaran kapal keluar masuk. Akibatnya, minyak yang jisimnya kurang daripada air akan terapung di permukaan air dan  menghalang sinaran matahari ke dasar sungai. Keadaan yang demikian akan menjejaskan proses tumbesaran tumbuh-tumbuhan seterusnya merencatkan   penghasilan makanan. Kerajaan sewajarnya mengambil langkah berani dengan mengenakan denda yang tinggi terhadap kapal-kapal yang melakukan pencemaran kerana kos membersih limpahan minyak di permukaan air sangat tinggi. Denda yang tinggi juga menjadi satu amaran kepada kapal-kapal dagang tersebut supaya lebih peka dengan undang-undang sesebuah negara. Negara  Jerman dan Australia, masalah tumpahan minyak ini tidak pernah berlaku kerana negara tersebut mempunyai kapal yang serba canggih dan tong minyak yang baik sekali. Contoh ini wajar dipertimbangkan oleh kerajaan Malaysia jika kita mahu perairan negara sentiasa bersih.


Dalam kehidupan ini,  kepentingan sungai kepada manusia, haiwan, dan tumbuhan sukar dinafikan. Ketiadaan sumber air boleh menyebabkan manusia dan hidupan air
bagaikan cacing kepanasan.  Hal ini demikian kerana sungai  membekalkan sumber air dan protein kepada manusia malah air yang diminum oleh penduduk bumi kebanyakannya datang dari air sungai. Oleh itu, kita terpaksa menanggung kos merawat air sungai telah tercemar sebelum boleh diminum dan untuk kegunaan harian. Menurut laporan dari Kementerian Kesihatan, sumber protein yang terbaik datang daripada ikan, ketam dan udang. Sebaliknya, jika sungai  tercemar, sudah pasti sumber ini akan terjejas. Oleh itu, sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita bersama-sama memelihara kebersihan sungai kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Peribahasa ini mengingatkan manusia supaya tidak mencemarkan  anugerah istimewa daripada Tuhan ini kerana  sungai banyak manfaatnya kepada  makhluk di muka bumi ini.


Selain itu, sungai juga penting sebagai
medium pengangkutan dan penghubungan. Kita boleh kembali kepada fakta sejarah, pembukaan Terusan Suez  telah mendekatkan jarak perjalanan antara Timur dan Barat dan menyebabkan suatu ketika dahulu, Melaka menjadi persinggahan utama di rantau Asia. Walaupun proses globalisasi telah membawa pelbagai perubahan kepada pembangunan pengangkutan, namun perhubungan melalui jalan  air tetap berfungsi terutamanya di kawasan yang tidak dapat  dihubungkan melalui jalan raya, khasnya di pedalaman Sarawak. Sehingga hari ini, pengangkutan air masih digunakan untuk menghantar barangan berat kerana pengangkutan ini mampu menampung muatan yang besar. Kepelbagaian pengangkutan sama ada pengangkutan air, darat, dan udara lebih mempercepat terlaksananya visi kudsi Wawasan 2020. Dengan demikian,  misi  Malaysia untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara gergasi yang lain tidak sekadar impian semata-mata.

Sebagai  kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mengatasi kemelut pencemaran air yang dapat diibaratkan seperti duri dalam daging kepada masyarakat dan negara. Sebagai khalifah Allah yang dikurniakan akal fikiran dan bergelar insan kamil, kita bertanggungjawab untuk menjaga sungai yang merupakan anugerah Tuhan yang amat bernilai ini. Kita haruslah menjauhkan diri daripada perbuatan mencemarkan sungai agar tidak terjadi fenomena sudah terhantuk baru tengadah.  Mudah-mudahan usaha ini dapat merealisasikan hasrat dan visi kudsi wawasan 2020. ‘Cintailah Sungai Kita’.

No comments:

Post a Comment